Bayi lemas dipercayai terjatuh dalam sungai

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

IPOH - [DIKEMASKINI] Seorang bayi lelaki berketurunan Myanmar berumur setahun lima bulan yang disyaki lemas disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai penemuan mangsa yang dikenali sebagai Ah Hung yang tinggal di Tanah Hitam, Chemor pada jam 5.38 petang.

Menurutnya, bayi itu dijumpai di tepi Sungai Chemor berdekatan Jambatan Kereta Api Chemor dan dikejarkan ke hospital.

"Pegawai penyiasat dimaklumkan oleh seorang doktor pakar di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini, semasa kanak-kanak itu tiba kira-kira jam 6.30 petang, dia telah meninggal dunia.

"Doktor juga memaklumkan, tiada sebarang kesan lebam atau kecederaan pada tubuh badannya. Bedah siasat ke atas bayi itu akan dijalankan hari ini bagi mengenal pasti punca kematian," katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

A. Asmadi berkata, ibu bapa mangsa yang merupakan warga Myanmar ditahan bagi membantu siasatan.

"Siasatan awal mendapati semasa kejadian, ibu mangsa berusia 40 tahun sedang memasak di dapur, manakala kanak-kanak malang itu bermain di tepi rumah yang berhampiran sungai dengan jarak kira-kira 50 meter sebelum didapati hilang lima minit kemudian," katanya.

Beliau berkata, ibu mangsa kemudian menghubungi suaminya berusia 28 tahun yang bekerja sebagai pekebun di kawasan berhampiran, sebelum mereka mencari di kawasan kebun namun gagal menemui bayi itu dan meminta majikan mereka mendapatkan bantuan pihak polis.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!