Puteri UMNO sifatkan pemimpin PH amal politik khadam

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Datuk Zahida Zarik Khan menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini. - Foto Bernama
Ketua Pergerakan Puteri UMNO Datuk Zahida Zarik Khan menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan hari ini menyifatkan pemimpin Pakatan Harapan (PH) mengamalkan politik khadam rentetan beberapa isu dianggap tidak adil yang berlaku sejak mengambil alih kerajaan.

Beliau mempersoalkan beberapa kes termasuk kes rasuah melibatkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang ditarik balik; kes anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim yang masih belum selesai dan juga isu membawa pulang abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng.

"Mungkin bagi mereka, membawa pulang abu Chin Peng, yang mengetuai pengganas komunis, yang membunuh ribuan polis, tentera dan orang awam dalam mempertahankan kemerdekaan dulu, jauh lebih penting dari keadilan untuk arwah Adib?

"Kenapa jadi begitu? kerana apa sahaja kemahuan dan apa saja impian pemimpin DAP pasti akan jadi kenyataan? kenapa jadi begitu? kerana di kalangan mereka ramai yang melihat pejuang kemerdekaan, bukanlah Datuk Onn (Allahyarham Tun Hussein Onn), bukanlah Tunku Abdul Rahman (Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj) tetapi orang seperti Chin Peng dan mereka yang bersamanya di dalam hutan belantara 60 tahun dahulu.

"Kenapa jadi begitu? kerana di sana ramai pemimpin Melayu termasuklah yang menjaga Kementerian Pertahanan memilih untuk berdiam diri dalam isu ini.

"Ini adalah politik khadam. Khadam tidak akan sama sekali menyanggah tuannya. Menjaga hati tuannya yang terdiri daripada orang-orang DAP adalah lebih penting daripada menjaga hati para perajurit yang bermati-matian dalam mempertahankan keamanan dan kedaulatan negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Agung Puteri UMNO 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Dalam masa sama beliau turut mempersoalkan di mana suara Gabungan Pilihanraya Adil dan Bersih (Bersih) ketika PH yang dilihat gagal melaksanakan reformasi institusi yang dilaung-laungkan sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

"Dulu, mereka kata SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) mesti bebas dari pengaruh politik. Semua itu sudah menjadi cerita dongeng.

"Lantikan politik lebih teruk dari dulu dan pendakwaan terpilih dibuat sesuka hati. Badan ini tak lebih dari alat memuaskan nafsu dendam kesumat mereka yang tidak berkesudahan.

"Mana Bersih? Mana Bersih yang dulunya berarak dan melalak di jalanan? Mana Bersih yang dulunya berguling-guling di jalanan? Sekarang ni bayang pun tak nampak. Dah jadi bisu ke atau dah jadi arwah?," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!