'Pemuda Amanah jangan terkebelakang berbanding parti PH lain'

Perwakilan Pemuda Amanah dari Terengganu, Azerul Azizi Hamzah
Perwakilan Pemuda Amanah dari Terengganu, Azerul Azizi Hamzah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Nasional diingatkan tidak boleh dilihat terkebelakang berbanding kepimpinan sayap pemuda parti lain dalam Pakatan Harapan (PH).

Perwakilan dari Terengganu, Azerul Azizi Hamzah berkata, kebimbangan itu diutarakan susulan pihaknya melihat perwakilan yang hadir Konvensyen Pemuda Amanah Nasional 2019 hari ini tiada semangat persaudaraan, adik-beradik dan berjemaah antara satu sama lain.

Menurutnya, faktor kurangnya tarbiyyah antara perwakilan Pemuda Amanah juga dilihat antara punca kualiti konvensyen kali ini tidak berada pada tahap diinginkan.

"Mengapa saya menekankan faktor tarbiyyah? Ini kerana bila kita sudah menang, kita berdepan cabaran besar seperti pangkat, kuasa, wang ringgit dan cubaan pihak musuh hendak memerangkap kita.

"Ini peringatan kepada semua perwakilan Pemuda Amanah agar pada konvensyen seterusnya kita tidak dimalukan rakyat, perwakilan dan pemerhati dengan isu-isu negatif," katanya sewaktu menyampaikan ucapan perbahasan ucaptama Ketua Pemuda Amanah Nasional sempena Konvensyen Pemuda Amanah Nasional di Dewan Komuniti Batu Muda di sini hari ini.

Konvensyen dihadiri sejumlah 402 perwakilan dari seluruh negara itu dipengerusikan Ketua Pemuda Amanah, Mohd Sany Hamzah.

Azerul Azizi berkata, Pemuda Amanah Nasional perlu mengambil contoh kekuatan pergerakan pemuda parti lain dalam PH dan juga pemuda UMNO diketuai Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin sebelum ini yang berjaya menarik perhatian pengundi muda.

Menurutnya, perkara itu perlu diberi perhatian serius pimpinan Pemuda Amanah kerana beliau tidak yakin parti itu akan menjadi relevan sekiranya tidak diuruskan pemimpin tiada daya intelektual dan berpersonaliti tinggi.

Artikel Berkaitan:

"Kalau kita lihat Pemuda UMNO, KJ (Khairy Jamaluddin) dahulu kekuatan dia apa, (Pemuda PKR) Akmal Nasir (Nasrullah) kekuatan dia apa, (Pemuda Bersatu) Syed Saddiq kekuatan dia apa.

"Mengapa kekuatan kita dilihat seolah-olah terkebelakang berbanding mereka?

"Kalau kita masih lesu, tiada semangat tinggi maka saya tidak yakin Amanah mampu menjadi parti relevan (pada masa hadapan)," katanya.

Azerul Azizi juga tidak mahu kepimpinan Pemuda Amanah menjadi seperti pemimpin Pas yang hanya pandai berceramah, tetapi tidak berfungsi di sidang Parlimen.

"Kita tidak mahu jadi seperti Pas...mereka pandai bercakap, berceramah tetapi bila masuk Parlimen tidak pandai jawab isu rakyat. Selain itu, cara hendak menguruskan isu pun tidak pandai.

"Kita kena stabilkan keadaan Pemuda Amanah dan PH, minimumkan kontroversi dan buat kerja terbaik untuk tunjuk kepada rakyat bahawa kita mampu beri perkhidmatan kepada mereka," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!