'Jangan pilih pintu belakang untuk berkuasa' - Puteri UMNO
KUALA LUMPUR - Puteri UMNO mengingatkan ahlinya agar tidak termakan umpan untuk mengejar kedudukan kerana tiada pintu belakang untuk berkuasa.
Ketuanya, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, UMNO perlu terus berdepan dan berjuang dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.
"Jangan pilih pintu belakang untuk berkuasa. Kita tak mau pintu belakang. Say No To Back Door! Jalan kita ialah jalan ke depan. Kita hadap dan kita lawan mereka dalam PRU yang akan datang.
"Cukup-cukuplah berunding di waktu malam. Cukup-cukuplah membenarkan diri kita diusung ke sana sini tanpa pengetahuan parti.
"Cukup-cukuplah bermain mata dengan orang yang cuba memusnahkan parti kita...cukup-cukuplah berpelukan dengan pihak yang rakyat pun sudah benci," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Pada 18 November lalu, sekumpulan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) hadir ke kediaman Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Presint 10, Putrajaya.
Isu tersebut menjadi pertikaian hangat dalam politik tanah air kerana mendakwa pertemuan itu bermotifkan untuk mendapatkan sokongan bagi menafikan cubaan menjatuhkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melalui undi tidak percaya.
Bagaimanapun dalam reaksi balas pemimpin BN terlibat, pertemuan bersama Mohamed Azmin itu adalah bagi membincangkan peruntukan untuk disalurkan kepada kawasan-kawasan.
Sementara itu, dalam ucapan sama, Zahida menyifatkan pemimpin UMNO yang lompat parti kini ibarat melukut di tepi gantang dan tidak 'dipandang' oleh parti kerajaan.
"Ingatlah sudah berapa ramai Yang Berhormat dari kalangan kita dahulu, kini hilang kehormatannya?
"Mereka itu tak dapat apa-apa pun di sebelah sana. Orang kat sana tak pandang mereka dan orang kat sini pun tak ingin mereka lagi.
"Mereka itu seperti melukut di tepi gantang. Ada tidak dirasai, hilang tidak ingin dirindui. Tiada siapa yang pedulikan mereka," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!