Honda Rebel dan X-ADV

Tampil warna baharu tahun 2019

A
A
A

BOON Siew Honda Sdn Bhd mengorak langkah ke hadapan bagi tahun 2019 dengan memperkenalkan tambahan warna baharu untuk model Honda Rebel dan X-ADV. Warna-warna baharu itu dilihat dapat meningkatkan lagi estatik reka bentuk dan ciri-ciri yang terdapat pada kedua-dua model tersebut.

Honda Rebel

Mula membuat penampilan pertama di Malaysia pada 2017, Rebel memang terkenal di seluruh dunia sebagai salah satu model yang cukup popular dalam kalangan pengguna.

Dengan rupa yang menggiurkan dan prestasi yang baik, motosikal Rebel 500 tampak amat hebat sewaktu perjalanan berulang alik ke tempat kerja, mahu pun tunggangan santai hujung minggu.

Enjin 471 cc kembar selari (parallel twin) DOHC sejukan cecair ini menghasilkan 45.5 hp dan 44.7 Nm dan menggunakan transmisi manual 6-kelajuan.

Dengan tayar hadapan bersaiz 130/90 R16 Rebel 500 tampil seperti sebuah bobber dan tangki minyaknya mempunyai kapasiti 11.2 liter. Berat keseluruhan 184.7 kg dan pelana yang rendah, Rebel juga sesuai untuk mereka yang baru memulakan hobi motosikal atau untuk mereka yang mahukan sesuatu yang mudah ditunggang di kawasan urban.

Untuk edisi 2019 Rebel tampil dengan dua warna baharu iaitu Mat Axis Gray Metallic dan Pearl Cadet Gray sebagai tambahan kepada warna Graphite Black dan Millennium Red sebelum ini.

Honda X-ADV

Manakala model Honda X-ADV pula akan menerima kemas terkini warna baharu untuk tahun 2019. Satu warna baharu diperkenal iaitu Mat Moonstone Silver Metallic, sebagai tambahan kepada warna Grand Prix Red dan Mat Bullet Silver sedia ada.

X-ADV didatangkan dengan transmisi automatik DCT jenis klac basah dan ciri Pilihan Kawalan Tork Honda (Honda Selectable Torque Control) yang menawarkan dua tahap kawalan pada permukaan yang berbeza.

Artikel Berkaitan:

Melengkapi X-ADV ialah tangki bahan api sebesar 13.1 liter dan ruang simpanan di bawah tempat duduk sebesar 21 liter.

X-ADV mempunyai lima pilihan warna lain termasuk merah Candy Chromosphere, Digital Silver Metallic, Matt Bullet Silver, Pearl Glare White dan Grand Prix Red.

X-ADV adalah sebuah skuter bergaya kembara yang dikuasakan oleh enjin dua-silinder 745 cc dengan sistem penyejukan cecair dan SOHC. Kuasa yang mampu dihasilkan adalah 54 hp pada 6,250 rpm dan 68 Nm pada 4,750 rpm.

Berat keseluruhan X-ADV ialah 238 kg dan ia dilengkapi seperti sistem tanpa kunci, ruang barangan 21 liter (boleh memuatkan helmet full face), soket pengecas USB di bawah tempat duduk, meter digital gaya rali yang lengkap dengan pelbagai maklumat dan fork terbalik di hadapan dan monoshock dengan Pro-Link di belakang.

Harga jualan tidak termasuk insurans bagi Model Honda Rebel adalah RM32,399 manakala bagi X-ADV adalah RM63,299 untuk warna biasa manakala bagi warna Grand Prix Red yang dipanggil sebagai warna istimewa, harganya adalah RM65,499. Kedua-duanya datang dengan jaminan dua tahun atau 20,000 km.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!