DAP sebenarnya petualang yang rasis: Asyraf Wajdi
KUALA LUMPUR - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa DAP adalah pihak yang bertanggungjawab mencetuskan sentimen kaum, mengapikan kebencian dalam kalangan rakyat.
Bagaimanapun, katanya, pemerintah seolah-olah memekakkan telinga dan membutakan mata apabila pemimpin DAP dan Pakatan Harapan (PH) berulang kali mengeluarkan kenyataan rasis dan cauvinis.
Tegas beliau, situasi itu mencetuskan fenomena ‘keberanian luar biasa’ segelintir rakyat untuk meremehkan institusi diraja, menghina agama bahkan memperkotak-katikkan maruah bangsa lain.
“Saya nak tanya saudara semua, siapa yang rasis? Siapa yang menjelajah luar negara mengatakan rakyat Hindu di negara ini ditindas dan dizalimi? Siapa? DAP. Siapa yang tuduh orang Melayu sebagai pendatang? DAP.
“Siapa yang hina tulisan jawi dan dikaitkan dengan pornografi? Siapa yang hina anggota tentera kita dengan mendakwa mereka hanya tahu makan dan tidur sahaja?," soalnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan Pergerakan Pemuda UMNO 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini pagi tadi.
Asyraf Wajdi turut melontarkan soalan bertanyakan siapakah yang memainkan sentimen perkauman malah menuduh Pas dan UMNO akan mengambil hak orang bukan Melayu.
“Siapa? Siapa hari ini yang memuliakan pengganas komunis dan menjulang mereka sebagai wira malah cuba merubah naratif sejarah? Siapa?
“Inilah sebenarnya petualang yang rasis. Merekalah yang bertanggungjawab mencetuskan sentimen kaum, mengapikan kebencian dalam kalangan rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan Malaysia diakui milik semua dan seharusnya tidak perlu lagi wujud istilah pendatang.
“Malaysia milik orang Melayu, Malaysia juga milik orang Cina, milik orang India, Kadazan, Dusun, Murut, Dayak, Iban, Bidayuh malah ratusan etnik di Sabah dan Sarawak.
“Kenapa? Sebab semuanya ada tanggungjawab, semuanya juga ada hak. Jangan hanya melihat kepada hak tapi melihat juga kepada tanggungjawab yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!