'Tak cukup wang, suami isteri bawa jenazah bayi naik bas'

Uncle Kentang menyediakan khidmat van jenazah.
Uncle Kentang menyediakan khidmat van jenazah.
A
A
A

KAJANG - Kisah pilu seorang pasangan suami isteri terpaksa membawa mayat bayinya menaiki bas akibat tidak mampu menyediakan wang untuk menyewa van jenazah membuatkan aktiviti masyarakat, Uncle Kentang sebak.

Uncle Kentang atau nama sebenarnya Kuan Chee Heng memberitahu, bayi itu telah berada di Hospital Serdang selama empat bulan sebelum meninggal dunia semalam.

Suami isteri dikatakan mahu pulang ke kampung halaman di Kulim, Kedah dengan menaiki bas atas ihsan sumbangan wang daripada jururawat di hospital tersebut.

Uncle Kentang yang juga bekas calon Bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, yang menerima panggilan kecemasan daripada staf di bilik mayat itu mengambil keputusan menggalas tanggungjawab tersebut.

Setibanya di hospital, pada awalnya, pelawaan Uncle Kentang ditolak oleh pasangan itu, namun akhirnya mereka akur dan bersetuju membawa jenazah anaknya menaiki van jenazah hingga ke Kulim.

Ketika dalam perjalanan pulang, mereka berhenti untuk berehat dan makan, bagaimanapun pasangan berkenaan menolak kerana mahu segerakan urusan jenazah anaknya.

Mengetahui mereka tiada wang, Uncle Kentang menghulurkan wang untuk mengisi perut mereka.

"Saya seluk saku, beri wang barulah si suami bergegas pergi beli makanan. Mereka enggan makan sebab tiada duit bukan sebab bayi, sedih.

Artikel Berkaitan:

"Inilah pengalaman yang saya lalui cukup sedih," tulisnya di Facebook miliknya.

Dalam pada itu, beliau juga menzahirkan ribuan terima kasih kepada staf bilik mayat di Hospital Serdang di atas maklumat itu dan berjaya membantu golongan memerlukan.

Perkhabaran kisah itu mendapat perhatian netizen sehingga meraih lebih 21,000 tanda suka, 3,100 perkongsian dan 3,300 maklum balas.

Zuriati Husain berkata, "Syabas 'uncle', anda seorang yang baik hati dan seorang budiman. Seorang yang berhati mulia tanpa kira bangsa dan agama. Tolong-menolong dan muhibah adalah sangat mulia. Terima kasih kerana membantu orang susah."

Ujar, Azman Arsyad, "'Uncle', mata hatimu adalah anugerah yang istimewa diberi Tuhan. Teruskan niat sucimu."

Zahril turut menyokong usaha Uncle Kentang dan berharap atas keizinan ALLAH SWT, dia diberi hidayah di pengakhirannya kelak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!