Rantau Panjang kembali 'bernafas'
RANTAU PANJANG - Pekan Rantau Panjang yang sebelum ini lumpuh ditenggelami banjir kembali 'bernafas' apabila urusan jual beli berjalan seperti biasa.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, premis perniagaan yang sebelum ini ditutup kembali dibuka semula selepas air mulai surut.
Menariknya ada peniaga yang mengambil kesempatan dengan membuat lelongan barangan jualan sempena hujung tahun.
Seorang peniaga makanan ringan, Sharifah Awang, 50, berkata, gerainya kembali beroperasi bermula hari ini selepas air banjir yang menenggelamkan pekan itu mulai surut.
"Air mulai surut sejak semalam. Melihat situasi itu saya mengambil keputusan untuk keluar mencari rezeki," katanya yang berasal dari Kampung Gual Tok Deh.
Menurutnya, dia berdoa agar banjir yang melanda kawasan ini pulih sepenuhnya dalam tempoh terdekat.
Katanya, dia juga berharap tiada lagi gelombang banjir kali kedua berlaku selepas ini.
Sementara itu, portal ebanjir.kelantan.gov.my menunjukkan paras air Sungai Golok mulai surut dan berada pada tahap amaran iaitu 10 meter ketika ini.
Laluan utama yang menghubungkan simpang empat Banggol Kulim ke Rantau Panjang sudah boleh dilalui oleh semua kenderaan.
Sebelum ini laluan itu ditutup selepas ditenggelami banjir sedalam 0.7 hingga 1 meter.
Terkini sebanyak 16 pusat pemindahan sementara (PPS) masih lagi beroperasi melibatkan mangsa seramai 6,710.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!