Tiada apa hendak dimalukan belajar ngaji pada usia lanjut

USIA bukan penghalang untuk seseorang itu belajar mengaji.
USIA bukan penghalang untuk seseorang itu belajar mengaji.
A
A
A

BELAJAR mengaji pada usia lanjut adakalanya membibitkan perasaan malu bagi segelintir orang. Namun, rasa itu sepatutnya tidak perlu ada kerana ia melibatkan perihal menuntut ilmu terutama berkaitan agama. Sementelah, menuntut ilmu itu merupakan kewajipan ke atas setiap insan.

Ya, barangkali perasaan itu terbit kerana sifat rendah diri mereka yang buta huruf, merangkak-rangkak mahupun tidak fasih dalam soal hukum tajwid.

Namun, ketahuilah itu hanya pandangan kita semata-mata. Hakikatnya tanggapan itu hanya akan merugikan diri. Walhal, ALLAH SWT telah menjanjikan ganjaran buat hamba-hamba-NYA yang tidak lancar membaca al-Quran, tetapi masih berusaha mempelajarinya.

Sabda Rasulullah SAW: “Seorang yang lancar membaca al-Quran akan bersama para malaikat yang mulia dan sentiasa selalu taat kepada ALLAH. Adapun, yang membaca al-Quran dan tersekat-sekat di dalamnya dan sulit atasnya bacaan tersebut, maka, baginya dua pahala.” (Riwayat Muslim)

Sesungguhnya usia bukanlah penghalang untuk seseorang itu belajar dan berjaya. Begitu juga apabila kita belajar mengaji. Tidak kiralah berapa pun usia kita, jangan sesekali menyerah kalah tanpa berusaha untuk belajar mengaji dan memperbaiki bacaan kalamullah sebelum 'menutup mata'.

Itu antara sebab pesara, Jamian Ponijan dan Bismi Amir Hamzah serta kakitangan awam, Rohana Mohd Salleh kembali ke kelas mengaji di Quran Center Ustaz Walid yang terletak di Sungai Buloh, Selangor.

Bagi mereka, tiada apa yang dimalukan apabila mempelajari al-Quran pada usia lanjut.

"Lebih memalukan lagi apabila tidak boleh membacanya ketika menghadap ALLAH kelak," ujar mereka penuh keinsafan.

Artikel Berkaitan:

Merangkak-rangkak

Kepada Sinar Islam, Jamian memulakan bicaranya. Ujar beliau, biarpun adakalanya terbit sekelumit perasaan malu dalam dirinya apabila belajar mengaji pada usia tua, namun beliau membuang 'rasa' itu jauh-jauh.

JAMIAN
JAMIAN

"Jika terlalu diikutkan rasa itu, memang sangat malu, (tetapi) sampai mati pun kita tak belajar. Walau apapun, kita tahanlah (malu).

"Jadi, cara yang mudah, carilah mana-mana tempat yang boleh mengajar kita mengaji. Kalau kena dengan caranya dan atas izin-NYA, insya-ALLAH kita boleh membaca al-Quran dengan baik," jelas beliau ketika ditemui di Quran Center Ustaz Walid pada Selasa minggu lalu.

Lelaki berusia 60 tahun itu bukan sahaja menghadapi masalah pada bacaan al-Quran, tetapi juga kesukaran untuk mengeja.

"Sejujurnya saya memang tidak reti membaca al-Quran. Mengeja pun merangkak-rangkak. Itulah yang menyebabkan saya hendak belajar mengaji.

"Masa kecil dulu, saya pernah belajar al-Quran, tetapi itu dengan cara yang lama dan susah hendak ingat. Saya juga sukar hendak mengeja, cuma mampu menghafalnya sahaja," katanya yang mengikuti kelas mengaji kaedah kotak hampir dua bulan lalu di pusat berkenaan.

Disebabkan itulah, bapa bapa kepada lima cahaya mata itu tercari-cari kelas mengaji yang sesuai untuk membimbingnya mengeja, sekali gus membaca dengan baik.

"Apabila saya terbaca (kelas ngaji menggunakan kaedah kotak) dalam akhbar, saya terus menghubungi ustaz untuk mengikutinya.

"Saya belum pernah khatam lagi (al-Quran). Ini merupakan minggu ketujuh saya belajar di kelas ngaji. Saya berharap berpeluang untuk mengkhatamkan al-Quran dengan ustaz nanti," ujar beliau.

Impian mahu khatam

Apa yang dilalui Jamian turut sama dirasai oleh Bismi. Meskipun jalan cerita yang direntas oleh mereka berbeza, namun kedua-dua lelaki berhati cekal itu punya matlamat yang sama iaitu membaca al-Quran dengan lancar, sekali gus mencapai impian untuk mengkhatamkan al-Quran.

Ujar Bismi, 55, tiada istilah segan dalam kamus hidupnya apabila mempelajari al-Quran pada usia lanjut. Sebaliknya, beliau bersyukur kerana menjadi insan terpilih untuk mempelajari dan mendekati kalam ALLAH.

BISMI
BISMI

"ALLAH sudah buka pintu hati saya. Saya cari sendiri (kelas ngaji), pusing dari satu tempat ke tempat yang lain. Hinggalah saya 'dipertemukan' dengan kelas ini.

"Sebelum itu, saya pernah mengikuti bengkel (mengaji) selama dua hari. Keinginan saya begitu tinggi untuk mempelajari kalam ALLAH. Alhamdulillah urusan saya dipermudahkan," katanya.

Sesi temubual itu semakin rancak apabila Bismi mengimbau kembali kisah mengajinya ketika zaman kanak-kanak.

"Saya dulu belajar setakat Muqaddam sahaja dan sempatlah mengaji al-Quran, tetapi hanya Surah al-Baqarah pada halaman pertama. Selepas itu, saya tidak berkesempatan untuk menyudahkannya.

"Sebab itulah apabila sudah bersara, saya ada banyak masa lapang. Jadi, saya hendak ambil peluang yang sudah lama saya tinggalkan. Saya belajar ngaji dan berguru dengan ustaz," terang beliau.

Bagi Bismi, sebagai umat Islam, amat rugi jika kita mensia-siakan 'pusaka' peninggalan Nabi Muhammad SAW.

"Salah satu daripada peninggalan baginda ialah al-Quran. Sebagai umat Islam, kita wajib memeliharanya. Sedangkan, dulu al-Quran 'turun' tidak bertanda (berbaris), tetapi ia boleh dibaca.

"Namun, kita sebagai umat akhir zaman tidak menghargainya. Siapa lagi yang hendak memelihara kalam ALLAH ini kalau bukan kita umat Islam," ujar beliau.

Tambah baik bacaan

Begitupun, Bismi tidak keseorangan dalam kembara makrifatnya mendekati kalam ALLAH itu. Sebagai ketua keluarga, beliau turut mengajak suri hatinya, Rohana untuk bersama-sama mengikuti kelas ngaji bersama-sama.

Perasaan seronok itu sukar diungkapkan dengan kata-kata. Namun, apabila semua perkara dilakukan bersama dengan suami, ia menjadi momen indah buat mereka berdua, ujar Rohana.

ROHANA
ROHANA

"Ia lagi senang, kami pun boleh jawab soalan bersama-sama (dalam kelas). Lebih seronok apabila kami boleh mengaji bersama-sama di rumah," jelas beliau.

Rohana, 54, bersama suaminya yang menetap di Rawang, Selangor itu sebenarnya lancar membaca al-Quran, namun tidak begitu mahir dalam perihal hukum tajwid.

"Kadangkala saya 'langgar' panjang atau pendek suatu ayat itu. Dua atau enam harkat suatu perkataan itu, saya baca sama saja. Sebelum mengikuti kelas itu, kali terakhir saya berguru (ketika mengaji) adalah ketika masa sekolah.

"Apabila saya lihat suami masuk kelas (ngaji), saya rasa terpanggil untuk mengikutinya untuk memperbaiki bacaan. Kami mempelajari kaedah kotak di kelas itu. Alhamdulillah, sekarang saya sudah tahu serba sedikit tanda baca, hukum dan tajwid ketika membaca al-Quran," katanya yang pernah khatam al-Quran ketika di tingkatan tiga.

Ibu kepada tujuh cahaya mata itu sering mengingatkan dirinya agar tidak terlalu berpuas hati dengan tahap pembacaan al-Quran beliau.

Rohana turut mengajak masyarakat agar sentiasa memperbaiki bacaan ketika mengaji.

"Walaupun kita pandai mengaji, tetapi tak semestinya tajwid kita itu betul. Kadangkala kita rasa macam pandai mengaji, tetapi bila orang dengar (bacaan kita), ada kesalahan lagi.

"Jadi, seandainya kita berpeluang untuk masuk semula kelas mengaji itu, rebutlah peluang itu. Tidak perlu malu walaupun kita sudah berusia," akhiri bicaranya.

Perlu berguru walaupun pandai baca al-Quran

Masyarakat diingatkan agar tidak bersikap skeptikal mengikuti kelas pengajian al-Quran dewasa kerana kalam ALLAH itu perlu dipelajari secara berguru dengan mereka yang mahir dalam bidang berkenaan.

Pengasas pengajian al-Quran kaedah kotak yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Uswarich Sdn Bhd, Ustaz Syed Walid Al Giffa Syed Ibrahim berkata, sebagai orang Islam, kita wajib membaca al-Quran yang menjadi pegangan hidup.

USTAZ SYED WALID AL GIFFA
USTAZ SYED WALID AL GIFFA

"Seandainya kita tidak boleh membacanya, kita perlu sedar diri dan berusahalah untuk mempelajarinya kerana ia menjadi pegangan kita. Apapun, kita perlu menyimpan niat, sebelum meninggal dunia, sekurang-kurangnya kita mampu membaca Surah al-Fatihah dengan betul.

"Sekalipun seseorang itu boleh membaca al-Quran, kita tetap perlu pergi belajar atau berguru kerana khazanah al-Quran sebenarnya begitu banyak. Contohnya, hendak mendapatkan bacaan dan untuk mengetahui apa isi kandungan dalam al-Quran," katanya ketika ditemui Sinar Islam baru-baru ini.

Sepanjang 10 tahun mengajar orang dewasa mengaji, Ustaz Syed Walid Al Giffa membuat lima pengelasan tahap pembacaan al-Quran dalam masyarakat berdasarkan kajian dibuatnya.

"Pertama, tahap kosong iaitu mereka lupa huruf. Ia ibarat mualaf yang baru hendak kenal huruf. Kedua, mereka mengenali huruf, tetapi apabila huruf-huruf itu bersambung, mereka keliru. Kelompok ketiga pula mengenali huruf bersambung, tetapi tiada tajwid apabila membacanya.

"Satu lagi golongan pula tahu membaca al-Quran dengan baik, tetapi apabila ditanyakan mengapa dia baca begini dan begitu, mereka tiada jawapan kerana ia sudah menjadi kelaziman mereka. Sementara itu, golongan yang terakhir ialah mereka yang cantik dari segi bacaannya, tahu tajwid dan boleh mengajar," jelas bekas juruteknik penyelenggaraan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

BERDIRI dari kiri, Rohana, Jamian dan Bismi mengikuti kelas ngaji di Quran Center Ustaz Walid, Sungai Buloh, Selangor yang mendapat bimbingan daripada Ustaz Syed Walid Al Giffa (duduk).
BERDIRI dari kiri, Rohana, Jamian dan Bismi mengikuti kelas ngaji di Quran Center Ustaz Walid, Sungai Buloh, Selangor yang mendapat bimbingan daripada Ustaz Syed Walid Al Giffa (duduk).

Atas faktor itulah, beliau mengasaskan kaedah kotak bagi membantu lima kelompok berkenaan yang dibangunkan sejak tahun 2014.

"Suatu masa dahulu, saya tidak begitu lancar al-Quran sebab saya sudah tinggalkan lama. Namun, apabila saya bekerja dengan TUDM, saya belajar talaqi wal musyafahah dengan guru-guru al-Quran. Akhirnya, saya gunakan ilmu itu untuk mengajar orang lain," katanya sambil menjelaskan beliau ingin membantu masyarakat dekat dengan al-Quran, peninggalan Nabi Muhammad SAW.

Sabda Rasulullah SAW: "Sebaik-baik kamu adalah orang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya." (Riwayat al-Bukhari)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!