Cadangan usul turun had umur perwakilan Pemuda Amanah ditolak
KUALA LUMPUR - Cadangan usul perbahasan menurunkan had umur perwakilan daripada 40 tahun ke 35 tahun bagi tujuan peremajaan Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Nasional ditolak sebulat suara perwakilan.
Usul perbahasan itu dikemukakan perwakilan Johor, Ahmad Faris Rakbi bagi memberi ruang kepada bakat-bakat kepimpinan lebih muda untuk mendapat pendedahan dan pengalaman dari aspek kepimpinan parti.
Menurutnya, senario politik semasa menyaksikan usia 35 tahun adalah usia ideal bagi pemimpin politik berpencak ke peringkat lebih tinggi iaitu peringkat nasional
"Usia 35 tahun adalah usia ideal politik, jadi usia itu sesuai untuk mereka berpencak politik ke peringkat nasional.
"Pada masa sama, parti dapat memastikan lebih ramai pemimpin muda diberi peluang melibatkan diri dalam parti, lebih-lebih lagi had usia pengundi PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15) sendiri sudah diturunkan kepada 18 tahun berbanding 21 tahun oleh SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya)," katanya sewaktu membahaskan cadangan usul Pemuda Amanah Nasional untuk dibawa kepada Konvensyen Amanah Nasional 2019, di Dewan Komuniti Batu Muda hari ini.
Bagaimanapun, cadangan usul perbahasan itu ditolak sebulat suara oleh Speaker Pemuda Amanah Nasional, Ridzuan Abu Bakar setelah menerima bantahan beberapa perwakilan.
Seorang perwakilan dari Melaka, Mohamad Fadli Hassan menyifatkan cadangan usul itu tidak sesuai kerana sudah dibahaskan pada Konvensyen Pemuda Amanah Nasional yang lalu.
Menurutnya, cadangan itu juga dilihat tidak bersesuaian dengan senario politik semasa dengan struktur parti itu sendiri yang masih baharu.
"Macam mana kita hendak terima cadangan usul itu, sedangkan pada usia seawal 35 tahun, mereka baharu hendak mencapai puncak pengalaman politik.
"Selain itu, keadaan sayap parti sekarang dilihat tidak sesuai lagi laksana cadangan meremajakan Pemuda Amanah, kalau 20 tahun lagi mungkinlah," katanya.
Dalam perkembangan lain, perwakilan dari Pulau Pinang, Idris Amir mencadangkan Pemuda Amanah Nasional membawa usul perbahasan bagi mendesak kerajaan mengembalikan diskaun manifesto 10 peratus kepada peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada peminjam yang berjaya membayar secara tetap.
"Selain itu kerajaan juga digesa meningkatkan insentif cukai menarik kepada majikan membantu pekerjanya menjelaskan hutang pinjaman PTPTN.
Usul perbahasan itu kemudiannya diluluskan oleh Ridzuan untuk dibawa ke Konvensyen Amanah Nasional 2019 bermula 6 hingga 8 Disember ini di Pusat Konvensyen IDCC Shah Alam, Selangor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!