Mayat lelaki ditemukan tertiarap di rumah
JERTEH - Mayat seorang lelaki ditemukan dalam keadaan tertiarap di ruang tamu sebuah rumah di Kampung Bukit Kenak di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Besut Supt Abdul Rozak Muhammad berkata, mayat lelaki berusia 44 tahun itu dijumpai pada 12 tengah hari oleh anak saudaranya yang tinggal bersebelahan rumah mangsa.
"Pemeriksaan awal mendapati mangsa telah meninggal dunia lebih 24 jam berdasarkan mayat yang dalam keadaan bengkak serta berbau. Difahamkan, mangsa juga merupakan orang kurang upaya (OKU) kerana sakit mental sejak 20 tahun lepas dan tinggal bersendirian di rumah terbabit," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurut Abdul Rozak, abang mangsa melihatnya pada kali terakhir kira-kira 9 pagi, Selasa lepas.
Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Besut untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!