Persengketaan pemimpin PKR diatasi dengan baik
MELAKA TENGAH - Perasmian Kongres Nasional Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) berlangsung dengan lancar membuktikan persengketaan antara pemimpin utama dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) dapat diatasi dengan baik.
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, dalam parti dinamik seperti PKR, perselisihan faham adalah biasa dan akhirnya semua pihak akan bersatu dan mencapai konsensus apabila tiba masanya.
“Kongres tahunan AMK dan Wanita ini saya kira amat berjaya seperti tahun-tahun lalu dan tradisi seperti yang ditunjukkan malam ini cukup unik dalam PKR.
“Walaupun ada spekulasi dan tuduhan beberapa minggu dan bulan lalu, tapi kekuatan yang ada pada kepimpinan parti, dipimpin Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim, Majlis Pimpinan Pusat, AMK dan Wanita, kita berjaya merungkai banyak masalah.
"Dan semuanya bersatu teguh untuk teruskan perjuangan ini,” katanya pada sidang media selepas melancarkan kongres kedua-dua sayap berkenaan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini malam ini.
Hadir sama Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin dan Tian Chua serta Ketua Wanita PKR, Haniza Mohamed Talha dan Ketua Angkatan Muda Keadilan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Sebelum ini, Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi hanya diberi lampu hijau merasmikan Kongres Nasional Wanita, bertentangan dengan kelaziman tahun-tahun sebelumnya di mana kedua-dua kongres sayap sering dirasmikan Timbalan Presiden.
Mengulas mengenai perkara itu, Azmin berkata, beliau gembira kerana parti masih mengikut tradisi sejak penubuhannya.
“Selagi saya masih Timbalan Presiden, selagi itulah tradisinya Timbalan Presiden merasmikan AMK dan Wanita, manakala Presiden akan merasmikan kongres utama. Saya gembira dapat terus bersama AMK dan Wanita,” katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!