Tiada lagi kegusaran, hadirnya ketenangan: Perwakilan
MELAKA TENGAH - Laungan ucapan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada majlis perasmian Kongres Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) meniup semangat perwakilan untuk berganding bahu membina Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
Ia juga dilihat sebagai medan kedamaian di sebalik kemelut yang melanda parti tersebut terutama antara presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mohamed Azmin.
Perwakilan Wanita Keadilan Terengganu, Sharifah Norhayati Syed Omar, 50, berkata, konvensyen itu mencipta sejarah bermakna bagi parti apabila segalanya terbukti tiada lagi kegusaran malah hadirnya ketenangan dalam parti selepas pelbagai desas desus menghantui ahli.
"Apa yang lebih penting bukan hanya tanggungjawab ahli terhadap parti namun usaha merealisasikan wawasan tersebut sekali gus tanggungjawab membantu masyarakat terutama kenaikan harga barang tidak membebankan rakyat.
"Menerusi ucapan timbalan presiden, beliau menyasarkan untuk fokus melaksanakan permintaan rakyat kepada kita dan bukan tanggungjawab kita untuk mengukuhkan parti tapi tanggungjawab kita kepada rakyat ke arah Malaysia baharu," katanya.
Menurutnya, nasihat timbalan presiden supaya mengekalkan ketenangan tanpa menabur sebarang fitnah dan memburukkan antara satu sama lain wajar menjadi pegangan bagi setiap perwakilan yang hadir.
Bagi Naib Ketua AMK, Mohd Nazree Mohd Yunos, 36, berkata, teguran Mohamed Azmin mengenai sayap pemuda supaya menanamkan sifat ikhlas dalam perjuangan perlu diberikan perhatian dan dijadikan sebagai suntikan semangat serta inspirasi sama ada kepada perjuangan baharu mahupun lama.
"Wanita dan pemuda perlu mengambil tempat dan peranan bagi bersama menjayakan wawasan tersebut termasuk dari sudut ekonomi dan sosial.
"Keikhlasan itu mesti dijadikan pembakar semangat dan perbandingan beliau memberikan contoh kerajaan terdahulu harus memberi kesedaran kepada ahli untuk tidak menjadi sedemikian rupa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!