Lancar Tabung Kecemasan Banten, baik pulih infrastruktur
ALOR SETAR - Kerajaan negeri dengan kerjasama MyCare melancarkan Tabung Kecemasan Banten bagi membaik pulih infrastruktur yang terjejas akibat tsunami di Selat Sunda, Indonesia.
Exco kerajaan negeri, Zamri Yusuf berkata, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Exco baru-baru ini, di mana wakil kerajaan negeri akan turut serta dalam misi kemanusiaan ke Banten pada 10 hingga 13 Januari ini.
Menurutnya, setakat ini, dana terkumpul disumbangkan oleh usahawan dan dermawan dari negeri ini mencecah RM60,000, dan percaya jumlah itu akan meningkat dalam masa terdekat.
“Mereka yang ingin menyumbang kepada tabung ini masih boleh berbuat demikian, kerana kita bercadang untuk adakan misi kedua, selepas meninjau keperluan lain yang diperlukan mangsa tsunami,” katanya, pada sidang media, hari ini.
Zamri berkata, misi ini akan fokus kepada proses baik pulih prasarana yang rosak, seperti membina rumah sementara yang diberi nama Rumah Senyum, membina semula masjid yang rosak serta mengagihkan pek makanan kepada mangsa.
“Saya sendiri akan bersama tujuh delegasi anggota MyCare untuk melawat lokasi terlibat, dibantu NGO dari sana, iaitu Pos Keadilan Peduli Ummat (PKPU) yang merupakan rakan pelaksana MyCare di Indonesia,” katanya.
Menurutnya, kerajaan negeri juga akan membantu menyelaras sumbangan dari pelbagai pihak agar setiap sen yang dikumpul dapat diserahkan dengan selamat kepada mangsa.
“Sumbangan boleh diberikan secara berterusan kerana kerosakan di sana agak besar, perlukan masa untuk baik pulih secara keseluruhan.
“Kita serahkan dana terkumpul walau berapa pun jumlahnya, selain turut bantu aktiviti gotong royong yang tidak memerlukan kos tinggi,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi MyCare Kedah (zon utara), Abdul Wahab Yahya berkata, pihaknya turut mengendalikan sesi motivasi kepada kanak-kanak dan wanita yang trauma dengan insiden itu.
“Selain misi utama untuk bina rumah sementara sebelum kerajaan Indonesia siapkan rumah ganti, kita mahu individu yang trauma dengan kejadian itu pulih.
“Kos Rumah Senyum yang dibina hanya RM1,000 setiap unit,” katanya.
Katanya, bantuan kemanusiaan turut merangkumi bantuan kesihatan dan pendidikan dengan membina sekolah darurat (sementara).
“Kami akan adakan rombongan kedua bagi selesaikan misi bantuan sama ada berupa kewangan mahupun tenaga,” katanya.
Sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun Bank Islam, Humanitarian Care Malaysia Berhad (1209 20100 34904).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!