AMK percaya transisi jawatan PM akan berlaku lancar, tersusun

Akmal Nasrullah menyampaikan Ucapan Dasar Ketua AMK sempena kongres sayap itu, di sini hari ini. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Akmal Nasrullah menyampaikan Ucapan Dasar Ketua AMK sempena kongres sayap itu, di sini hari ini. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

MELAKA TENGAH - Angkatan Muda Keadilan (AMK) percaya Majlis Presiden Pakatan Harapan akan memastikan proses transisi jawatan Perdana Menteri berlaku dengan lancar dan tersusun.

Ketuanya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, dalam soal kepimpinan, AMK tidak boleh lari daripada persoalan mengenai peralihan kuasa Perdana Menteri.

"Saya percaya Majlis Presiden Pakatan Harapan akan memastikan proses transisi daripada Tun Dr Mahathir kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berlaku dengan lancar dan tersusun.

"Kita kekal akur dan memberi sokongan sepenuhnya kepada kerajaan bagi menjamin kelancaran pentadbiran," katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Ketua AMK sempena kongres sayap itu, di sini hari ini.

Namun pada masa sama, katanya, spekulasi dan keresahan di luar sana juga merencatkan kestabilan ekonomi dan memberi ruang kepada musuh kita untuk merosakkan rancangan tersebut.

"Saya yakin Keadilan (Parti Keadilan Rakyat) kekal dengan janjinya dan kita seharusnya berterima kasih kepada pimpinan tertinggi Bersatu, Amanah, dan DAP yang komited dengan agenda Harapan," katanya.

Dalam ucapan penutupnya, Akmal Nasrullah yang juga Ahli Parlimen Johor itu berkata, kemenangan dicapai bukanlah untuk dinikmati, tetapi untuk diteliti dan disematkan dengan semangat Reformasi.

Justeru beliau berkata, AMK perlu sentiasa peka dan bersedia untuk menghadapi cabaran yang mendatang dengan berpegang teguh kepada prinsip dan asas perjuangan.

Artikel Berkaitan:

"Saya sekali lagi ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Sekretariat atas kesungguhan dan ketelitian untuk menjayakan Kongres Tahunan AMK 2019.

"Saya mengharapkan para pembahas menggunakan peluang yang ada untuk mengangkat suara akar umbi, suara anak muda untuk penelitian bersama," katanya sewaktu mengakhiri ucapannya itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!