JAIP sasar semua resort di Janda Baik pegang sijil halal
KUANTAN - Tiga resort di Janda Baik, Bentong yang dianugerahkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia baru-baru ini menjadi perintis kepada semua resort dan chalet lain yang beroperasi di lokasi pelancongan itu untuk turut berusaha mendapatkan sijil halal.
Sebelum ini kira-kira 30 pengusaha resort menyertai Seminar Kesedaran Halal yang dianjurkan pihak Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) namun setakat ini hanya tiga sahaja yang meneruskan komitmen untuk melengkapkan permohonan seterusnya mendapatkan sijil halal.
Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pengurusan Halal JAIP, Noridzuan Abdul Manan berkata, tiga resort yang dianugerahkan sijil halal itu ialah Al Sakinah Resort, CAMP ABC dan 101 Resort & SPA.
Menurutnya, walaupun jumlah resort yang dianugerahkan sijil halal itu sangat kecil berbanding jumlah resort yang ada di kawasan pelancongan popular tersebut, namun ia satu kejayaan yang boleh menjadi langkah awal pensijilan halal bagi resort yang lain.
"Bahagian Pengurusan Halal JAIP menjalin kerjasama erat bersama Persatuan Pengusaha Resort Janda Baik sejak awal tahun ini di mana kami sentiasa turun padang bertemu pengusaha melalui pelbagai siri perbincangan, seminar, bengkel dan bimbingan.
"Allhamdulillah, buat permulaan ini, tiga resort berjaya menjadi perintis awal kepada puluhan resort dan chalet lain yang beroperasi di Janda Baik untuk turut berusaha mendapatkan Sijil Halal pada masa hadapan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Noridzuan berkata, kejayaan tiga resort berkenaan mendapat sijil halal membuktikan sijil halal bukan suatu yang sukar dan mustahil tetapi memerlukan komitmen dan kesungguhan pengusahanya.
"Paling penting di sini, pihak pengusaha perlu memastikan semua ramuan makanan yang digunakan disahkan halal dengan memiliki sijil halal yang sah.
"Selain itu pihak pengusaha perlu mematuhi aspek kebersihan dan penyediaan makanan yang baik serta mematuhi semua peraturan dan prosedur halal dari pelbagai aspek.
"Pihak kami akan terus meletakkan komitmen untuk membantu semua industri yang berminat untuk mendapatkan sijil halal," katanya.
Beliau berkata, tanggapan untuk mendapatkan sijil halal adalah sukar adalah tidak benar.
Katanya, proses itu sangat mudah kerana pihak JAIP sentiasa bersedia untuk membantu pihak industri, bermula dari proses pemahaman terhadap peraturan dan prosedur halal, sehingga proses mudah cara mengisi permohonan melalui sistem e-halal secara atas talian.
"Kejayaan tiga resort tersebut perlu dijadikan contoh kepada pengusaha resort yang lain untuk memohon sijil halal sekali gus memastikan makanan yang disajikan adalah benar-benar halal dan memberi kayakinan kepada orang ramai," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!