Muafakat Nasional bawa Pas, UMNO tawan semula Putrajaya

Ahmad Zahid berucap pada Perhimpunan Agung UMNO di PWTC. - Foto: Zahid Izzani
Ahmad Zahid berucap pada Perhimpunan Agung UMNO di PWTC. - Foto: Zahid Izzani
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi optimis Muafakat Nasional merupakan medium baharu dan segar yang akan membawa Pas-UMNO kembali menawan Putrajaya.

Menurutnya, permuafakatan adalah penyelesaian kepada perpaduan dan keharmonian antara kaum dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia.

Tegasnya, sebagai persediaan, beliau menggesa seluruh kepimpinan dan ahli UMNO pelbagai peringkat untuk melakukan inovasi politik dan gerak kerja bagi merealisasikan hasrat itu.

“​Kita wajar mengoptimumkan penggunaan teknologi maklumat sejajar perkembangan Revolusi Industri 4.0. ​Kita perlu ada budaya gerak kerja yang berorientasikan pencapaian terbaik dan bukan sekadar sebuah pencapaian fizikal semata-mata.

“​Kita juga harus merangka ‘story board’, ‘story line’ dan menguasai kemahiran ‘story telling’ mengenai isu yang dekat di hati rakyat dan disebarkan secara konsisten bagi menghadapi peperangan persepsi.

“Selain itu, ​kita perlu memanfaatkan penyelidikan dan ‘big data’ dalam setiap perhitungan politik tanpa mengabaikan sentuhan dan nilai manusiawi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis Perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2019 (PAU2019) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Turut hadir Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Presiden MCA, Daruk Seri Wee Ka Siong, Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran dan barisan kepimpinan tertinggi UMNO.

Artikel Berkaitan:

Tambah Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, beliau menghargai sumbangan semua pihak termasuk dari UMNO, Pas dan Friends Of Barisan Nasional yang membantu kempen parti di Parlimen Tanjung Piai baru-baru ini.

“Gandingan sebeginilah yang perlu dikekalkan sehingga PRU15 (Pilihan Raya Umum Ke-15). ​Perjuangan ini umpama berada di lautan yang luas.

“Kita adalah bahtera yang belayar dengan hanya seorang nakhoda, dibantu oleh juragan-juragan dan anak-anak kapal.

“Andai muatan kita adalah iman, maka layarnya adalah takwa. Apabila kompasnya keikhlasan, nescaya kita akan selamat dalam pelayaran ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!