'Tak perlu jadi hebat untuk bantu orang, hanya jadi manusia'
"TAK perlu jadi hebat untuk bantu orang, hanya jadi manusia".
Ungkapan dari seorang model warga Brazil itu dikongsikan pemilik akaun Facebook, Adam Mukhriz Mohd Muhayeddin itu tular di media sosial.
Pertemuannya dengan lelaki bernama Bruno Santana berlaku di sekitar Bukit Bintang apabila lelaki itu dilihat menghulurkan air kepada seorang gelandangan.
"Hari ini (semalam) ada satu pengajaran yang saya terima. Ketika di sebuah kedai serbaneka di Bukit Bintang. Ada nampak seorang lelaki. Nampak macam model. Dia beli air mineral botol besar.
"Mungkin nampak apa lah sangat kan? Bila dia keluar, saya pun keluar lah selepas itu. Sedang berjalan, saya nampak lelaki tadi duduk bersama seorang gelandangan di tepi jalan. Menghulurkan air yang dia beli tadi kepada wanita gelandangan itu.
"Dia dilihat bersembang seolah sangat cakna kepada wanita itu. Ya lah, orang yang berwajah dan tubuh seperti model, jarang lah kita tengok macam tu kan," katanya.
Adam menyapa lelaki itu dengan menyatakan rasa kagum atas kebaikan yang dilakukannya.
Bagaimanapun, lelaki itu sempat berkata,"Tidak bro, anda tidak perlu menjadi orang yang hebat untuk membantu orang, hanya menjadi manusia, yang paling penting saya mahukan anda berbuat baik dengan orang lain juga."
"Sekali lagi kata-katanya terngiang dalam kepala "Tak perlu jadi hebat untuk bantu orang, hanya jadi manusia."
"Begitulah juga kita, hanya jadi manusia. Berhenti memberi alasan untuk bantu orang," tulisnya.
Posting yang tular itu menyedarkan netizen bahawa sikap tolong-menolong merupakan satu keperluan dalam kehidupan kita dan ia adalah perbuatan mulia.
Md Helmi berkata, "Hebatnya ungkapan yang dikongsikan."
Ujar Rafeal Iman pula,"Nak bantu orang bukan perlu guna duit tapi boleh bantu dengan tenaga, barangan atau apa sahaja. Bantu seikhlasnya."
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!