'PH perlu tunai janji PRU, jangan beri alasan bodoh'
MELAKA - Kekalahan teruk dalam beberapa pilihan raya kecil (PRK) lalu menunjukkan rakyat kecewa di atas kegagalan Pakatan Harapan (PH) menepati janji Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Wakil Angkatan Muda Keadilan (AMK) dari Balik Pulau, Pulau Pinang, Nor Afni Md Yusuff berkata, kekalahan tersebut adalah mesej jelas kepada kepimpinan PH.
Menurutnya, ahli parti perlu fokus menunaikan janji dan jangan menjadi 'yes man' sebaliknya berani bersuara di landasan yang benar.
"Janji yang pertama iaitu janji untuk mansuhkan GST. Janji kedua adalah untuk hapuskan tol.
"Maklum sedar, amat sukar untuk kita mansuhkan tol serta-merta tetapi secara berperingkat.
"Sekurang kurangnya wujudkan pelan jangka pendek dan jangka panjang yang jelas dan 'transparent' kepada rakyat atau secara berkala.
"Kita jangan buang masa beri alasan bodoh kepada rakyat yang kita tidak mampu laksanakan janji PRU14 untuk mansuhkan tol secara berperingkat," katanya ketika berucap mengemukakan usul janji-janji PRU14 di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) hari ini.
Nor Afni berkata, janji ketiga adalah membina negara lebih inklusif, moderate dan gemilang.
Maka menurutnya, pimpinan parti perlu komited meletakkan calon anak muda terutama wanita dalam pilihan raya.
"Seterusnya iaitu pendidikan percuma untuk peringkat pengajian tinggi awam.
"Negara kita kaya dengan sumber yang jika diurus tadbir dengan baik insya-ALLAH, setiap anak muda akan dapat merasa manfaatnya dan tidak akan terpinggir," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!