KKM beri amaran kepada penjual susu pisang

Dr Noor Hisham - Foto Bernama
Dr Noor Hisham - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan (KKM) memberi amaran semua penjual atau ejen-ejen produk makanan agar menghentikan pengiklanan yang tidak mematuhi Akta Makanan 1983.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Noor Hisham Abdullah berkata, penjual juga diberi amaran agar tidak menyebarkannya di media sosial.

"KKM memandang serius penjualan dan pengiklanan produk susu pisang yang membuat akuan yang dilarang di media sosial dan media cetak," katanya.

Menurutnya, penyataan seperti membantu merendahkan tekanan darah tinggi, membantu membuang toksik dari badan, meningkatkan metabolisme, mengawal selia pengeluaran insulin dan pergerakan oksigen, mengurangkan obesiti dan sebagainya adalah dilarang pada label serta iklan produk makanan.

"KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan telah mengambil tindakan ke atas pihak yang mengedar atau menjual produk makanan tersebut yang tidak mematuhi mana-mana perundangan berkaitan di bawah Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya," katanya.

Beliau berkata, KKM sentiasa menjalankan operasi dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan produk makanan ke atas Akta Makanan 1983.

"Pada Oktober lalu, KKM telah menjalankan satu operasi khas bagi membanteras dan mengambil tindakan ke atas pengeluar dan produk makanan secara serentak di seluruh negara.

"Hasil operasi khas yang dijalankan, sebanyak 506 premis makanan telah diperiksa dan sebanyak 2,135 produk makanan bernilai RM60,494.53 telah disita.

Artikel Berkaitan:

"Sementara itu, sejumlah 47 notis dengan keseluruhan nilai RM113,500.00 telah dikeluarkan kepada pemilik premis makanan yang gagal mematuhi peruntukan di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, KKM sentiasa bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) serta pentadbir Facebook dan Instagram untuk menyekat akses kepada laman web dan laman sosial mana-mana produk makanan yang didapati tidak mematuhi Akta Makanan 1983.

"Sehingga kini sebanyak 103 laman web dan laman sosial telah disekat," katanya.

Menurutnya, Seksyen 17, Akta Makanan 1983 menetapkan larangan ke atas sesuatu iklan makanan termasuklah perkara-perkara yang dilarang pada label dan pernyataan-pernyataan yang boleh memperdayakan pengguna.

"Di bawah Peraturan 18(6), Peraturan-Peraturan Makanan 1985 pula menyatakan bahawa label makanan tidak boleh mengandungi akuan kesihatan seperti mencegah, mengurang, merawat dan menyembuhkan sesuatu penyakit.

"Kegagalan mematuhi mana-mana peruntukan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 merupakan satu kesalahan dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun," katanya.

Dalam pada itu beliau turut menasihati pengguna agar tidak terpedaya dengan iklan-iklan sedemikian.

"Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah/Kawasan/Bahagian atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!