Banjir di Chuchuh Puteri bukan disebabkan pembalakan
TUMPAT - Kerajaan Kelantan menafikan dakwaan bahawa banjir teruk yang dihadapi penduduk di Chuchuh Puteri A di Kuala Krai baru-baru ini disebabkan oleh pembalakan.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, banjir mengejut yang terjadi di kawasan tersebut kemungkinan berlaku kerana aktiviti penerokaan secara haram.
“Apabila saya minta penjelasan dari Pejabat Perhutanan yang berlaku (pembalakan) adalah di luar Sungai Rek, Kuala Krai.
“Memang pernah ada lesen (pembalakan). (Tetapi) kita menjangkakan apa yang berlaku ini adalah kerana tanah diteroka secara haram,” katanya kepada media hari ini.
Terdahulu beliau meraikan 120 kanak-kanak sempena Majlis Berkhatan Perdana DUN Pasir Pekan di Wisma Ibadurrahman.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan penduduk di Chuchuh Puteri A berdepan dengan banjir luar biasa di kawasan tersebut berikutan dilanda arus kuat secara mengejut.
Kejadian berkenaan didakwa penduduk dikaitkan dengan penggondolan hutan dan juga tiada sistem tadahan air secara semula jadi kerana pokok-pokok yang menjadi benteng sudah ditarah.
Mengulas lanjut perkara itu Ahmad juga memberitahu, sekiranya dikaitkan dengan pembalakan ia tidak betul memandangkan proses penebangan balak dilakukan mengikut prosedur.
“Kalau mengatakan aktiviti pembalakan ia tidak betul sebab kita melakukan secara berperingkat, kita tinggal 50 sentimeter. Bukan semua kita keluarkan,” katanya.
Ahmad berkata, beliau sudah mengarahkan Pejabat Tanah dan Galian dan juga Jabatan Perhutanan untuk membuat semakan terperinci kes terbabit.
“Kalau ada penerokaan haram seperti itu, ia tidak sepatutnya berlaku sebab kita ada pegawai selia hutan.
“Kita akan ambil tindakan setelah mendapat maklumat terperinci dan kita sudah berikan arahan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!