Perjanjian rasmi PDP untuk PTMP Januari ini

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang akan menandatangani perjanjian dengan rakan penyampaian projek (PDP) iaitu SRS Konsortium Sdn Bhd pada Januari ini untuk memulakan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bernilai RM46 bilion.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, SRS Konsortium sebelum ini dilantik sebagai PDP, namun perjanjian rasmi belum ditandatangani sehingga jaminan kelulusan bagi pelbagai projek di bawah PTMP diperoleh.

Menurutnya, syarat itu perlu dipatuhi yang mana kelulusan tersebut telah diperoleh sekali gus membolehkan kerajaan Pulau Pinang dan SRS Konsortium memuktamadkan perjanjian itu pada Januari ini.

"Sebaik sahaja perjanjian itu ditandatangani, SRS Konsortium akan meneruskan projek tahap kedua yang meliputi kerja-kerja rekabentuk, panggilan tender, penilaian tender dan pelantikan kontraktor. Kerajaan negeri masih belum memutuskan projek mana yang akan dilaksanakan terlebih dahulu kecuali tambakan laut di selatan Pulau Pinang.

"Sudah semestinya Projek Tambakan Laut Pulau Pinang Selatan (PSR) yang akan dimulakan dahulu dan seterusnya dua projek lain sama ada transit aliran ringan (LRT) Bayan Lepas atau Lebuhraya Pan Island 1 (PIL 1)," katanya.

Kon Yeow berkata, pembiayaan projek itu juga perlu dimuktamadkan dalam tempoh tersebut bagi menentukan pakej projek yang akan dimulakan dahulu.

"Ia juga bergantung kepada pengurusan kewangan bagi kita menentukan pakej mana yang akan dimulakan terlebih dahulu. Sebaik sahaja perjanjian rasmi ditandatangani bersama SRS Konsortium, kerajaan negeri perlu mendapatkan bon jaminan oleh kerajaan Pusat secepat mungkin iaitu dalam beberapa bulan ini.

"Memandangkan perjanjian itu akan ditandatangani, SRS Konsortium belum mengemukakan tuntutan mereka ke atas kos yang dikenakan untuk mendapatkan pelbagai kelulusan bagi projek-projek PTMP," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, sebanyak 27 syarikat termasuk sembilan syarikat tempatan telah disenarai pendek dalam Pertandingan Merekabentuk Pelan Induk (MDC) bagi PSR.

Kon Yeow berkata, sejak pelancarannya pada 6 November lalu, sebanyak 124 serahan 'Register of Interest' (ROI) diterima daripada 25 negara.

"Peringkat MDC yang seterusnya adalah pengumuman penyertaan minat (EOI) bermula hari ini hingga tarikh tutupnya pada 30 Disember ini. Di peringkat ini, kesemua peserta yang disenaraipendek akan mengemukakan butiran lanjut dan bukti kelayakan kumpulan konsortium mereka.

"Ini akan diikuti dengan proses pemilihan lima finalis yang akan diumumkan pada Januari tahun depan. Kesemua kumpulan konsortium perlu disertai oleh arkitek atau perancang dari Malaysia," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!