AMK Melaka cadang Rafizi dilantik sebagai menteri
MELAKA - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Melaka mencadangkan agar Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli dilantik sebagai menteri Kabinet.
Ketua AMK Melaka, Prasanth Kumar Brakasam berkata, pelantikan Rafizi penting dalam memainkan peranan membantu kerajaan menyelesaikan isu peluang pekerjaan dalam kalangan anak muda.
Menurutnya, Rafizi yang berusia 42 tahun itu berjiwa muda dan menjadi 'arkitek' kepada kemenangan Pakatan Harapan (PH) dengan menggunakan 'trak Invoke'.
"Saudara Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar (bekas Naib Presiden) merupakan antara wira dan wirawati yang tidak didendang berbanding menteri-menteri yang sedang panaskan kerusi di mana mereka ini salah didendang.
"Mesej yang diberikan pengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai amat jelas.
"Pakatan Harapan (PH) perlu segera menunaikan iltizam khusus untuk anak muda yang dijanjikan dalam Buku Harapan," katanya.
Prasanth berkata demikian ketika berucap mengemukakan usul penglibatan anak muda dalam pentadbiran kerajaan pada Kongres AMK di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MiTC) di sini hari ini.
Katanya, AMK tidak mahu ada pengkhianat dalam kalangan pemimpin PKR yang mengadakan pertemuan dengan musuh PH.
"Saya ingin menggesa pimpinan anak muda AMK yang diupah oleh majikan politik kamu perlu ingat kamu tidak boleh kekal lama dengan kuasa dan wang ringgit.
"Jika ada, maka sistem kroni di kalangan pimpinan mesti dihapuskan sebelum merebak menjadi barah dalam parti ini.
"Keadilan mesti bertindak terhadap pimpinan yang rasuah dan sekali gus tendang mereka keluar," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!