Sukan SEA: Emas kedua penerjun negara

Atlet terjun negara (dari kanan) Ooi Tze Liang, Chew Yiwei, Wendy Ng Yan Yee dan Jasmine Lai Pui Yee menunjukkan pingat yang dimenangi mereka dalam acara terjun sempena Sukan SEA 2019 di Athletics Stadium, New Clark City hari ini. -Foto: BERNAMA
Atlet terjun negara (dari kanan) Ooi Tze Liang, Chew Yiwei, Wendy Ng Yan Yee dan Jasmine Lai Pui Yee menunjukkan pingat yang dimenangi mereka dalam acara terjun sempena Sukan SEA 2019 di Athletics Stadium, New Clark City hari ini. -Foto: BERNAMA
A
A
A

MALAYSIA menang pingat emas kedua dalam acara terjun di Sukan SEA ke-30 selepas pasangan negara, Chew Yiwei dan Ooi Tze Liang menang acara 3 meter papan anjal seirama di Pusat Akuatik New Clark City di sini hari ini.

Pasangan itu yang buat pertama kalinya disatukan itu berjaya mengumpulkan 398.16 mata, selepas menamatkan 5 terjunan untuk menang emas yang memperlihatkan Malaysia terus menguasai acara tersebut dengan memenangi pingat emas sejak 2007 di Korat, Laos.

Chawanwat Juntaphadawon dan Thitipoom Marksin dari Thailand dan pasangan Timothy Lee Han Kuan dan Mark Lee Han Ming dari Singapura, masing-masing menang perak dan gangsa selepas mengutip 344.76 dan 240.53 mata.

Terdahulu Malaysia menang dua tempat teratas bagi acara 3m papan anjal individu wanita melalui Wendy Ng Yee dan Jasmine Lai Pui Yee yang masing-masing mengumpulkan 298.9 dan 241.95 mata, manakala penerjun Vietnam Ngo Phuong Mai menang gangsa (241.25).

“Saya amat gembira dengan kejayaan ini, kerana kami (skuad terjun) menghadapi beberapa kesukaran seperti penangguhan penerbangan (akibat taufan Kammuri) dan kami hanya dibenarkan berlatih pada tempoh yang pendek semalam, sebelum bermulanya pertandingan,” kata Tze Liang kepada pemberita di sini.

“Dari segi mata, ia sedikit rendah daripada edisi sebelum ini, tetapi saya masih berasa gembira untuk menang acara ini,” kata atlet dari Pulau Pinang yang akan mempertahankan pingat emas acara kegemarannya terjun 3 meter individu lelaki, esok.

Berkongsi perasaan yang sama, Yiwei yang gembira kerana dapat mengekalkan emas bagi acara tersebut untuk kali kedua, selepas melakukannya pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 bersama Ahmad Amsyar Azman yang bersara September lepas.

“Saya rasa bangga dengan kejayaan ini, kerana kami hanya dapat berlatih dalam satu sesi dan darjah kesukaran terjunan kami agak tinggi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, Tze Liang memang pingat emas dalam 3 meter seirama lelaki bersama Ahmad Amsyar untuk dua edisi sebelum ini iaitu pada 2013 dan 2015 manakala Yiwei menang emas bersama Ahmad Amsyar pada 2017. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!