Insiden AMK kecoh: Akmal serah pada polis
MELAKA TENGAH - Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat insiden kekasaran berlaku di luar dewan Kongres Nasional AMK di sini hari ini.
Insiden itu dipercayai melibatkan perwakilan dengan kumpulan 'pemerhati' berbaju hitam sehingga menyebabkan ada ahli AMK mengalami kecederaan dalam insiden itu termasuk terkena balingan batu.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, beliau tidak mengetahui mengenai kehadiran kelompok anak muda yang memakai baju hitam dalam kongres berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya masih dalam proses mendapatkan kepastian mengenai kehadiran kumpulan itu sebagai 'pemerhati' memenuhi ruang dalam dewan persidangan Kongres Nasional AMK sejak awal pagi.
“Sepatutnya hanya perwakilan dan pemerhati yang sah boleh masuk ke dalam dewan, saya tak tahu siapa mereka kerana saya duduk di depan sejak pagi.
“Dalam isu ini kalau ada laporan atau aduan adukan kepada pihak sekretariat kalau libatkan soal disiplin lembaga disiplin untuk tangani masalah ini,” katanya dalam sidang media di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka hari ini.
Mengulas mengenai dakwaan bekas Pengerusi Tetap AMK, Mizan Adli Mohd Noor mengatakan dihalang dan dikasari daripada memasuki dewan, Akmal meminta Mizan agar membuat laporan polis.
"Saya rasa elok kalau dia buat laporan polis, biar polis siasat dan pada masa sama kita kena jaga nama baik parti ini, jaga adab dan elak perkara ini menjadi isu peribadi.
"Kalau beliau hendak bawa laporan polis itu (kepada pihak ), saya percaya lembaga disiplin akan sibuk bekerja, banyak perkara yang perlu diteliti.
"Jadi segala perkara yang berlaku tadi saya harap diambil tindakan sewajarnya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!