Jangan leka dengan 'jerangkap kemenangan' PRU14
SHAH ALAM - Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu memberi amaran kepada seluruh pimpinan dan ahli parti agar tidak terperangkap dengan 'jerangkap kemenangan' yang diperoleh Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Beliau berkata, kemenangan yang diperoleh pada PRU14 meletakkan PH khususnya Amanah selaku parti kerajaan pada satu kedudukan yang sangat kritikal dan penting.
Namun katanya, kemenangan PRU lepas bukanlah kemuncak perjalanan hidup kepada parti.
"Keghairahan kedudukan yang ada jangan menyebabkan diri terjerumus ke lubuk persaingan yang tidak sihat seperti cah keting, tikam belakang, cai dan sebagainya.
"Cukuplah sejarah kerosakan negara yang berlaku akibat kepimpinan yang rasuah, birokrat jahat, cerdik pandai membisu, ulama pedagang agama, rakyat jahil dan anak muda hilang keberanian," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ucapan Pidato Presiden pada Konvensyen Nasional Amanah 2019 di Pusat Konvensyen IDCC di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja berkata, Amanah juga kini berdepan dengan pertembungan di antara dua kelompok iaitu kutub naratif 'Melayu terancam' dan 'kebebasan demokrasi'.
Beliau berkata, antara cabaran terbesar dihadapi pada hari ini adalah pertembungan dua kelompok ini yang boleh menjerumus tanah air berada ketidaktentuan.
Menurutnya, kelompok ultra etno-nasionalis menjaja naratif Melayu terancam dan kelompok hiper-liberal pula membawa idea yang menghapus elemen tradisi yang menjadi nilai teras dalam pembinaan semula negara.
Katanya, perlu diingat sesiapa yang menyemai angin, bakal menuai badai.
"Naratif Melayu terancam dibina oleh kelompok politikus yang gagal dan mereka ini membina perspektif dan naratif ancaman serta keresahan orang Melayu demi undi
"Mereka mahu orang Melayu sentiasa diburu bayang keresahan dan mengejar bayang yang tidak pasti," katanya.
Beliau berkata, naratif Melayu terancam hanya akan menambahkan lagi kegagalan pembinaan negara bangsa sejak awal kemerdekaan.
Katanya, isu agama, bahasa, himpunan anti ICERD, statut Rom dan sebagainya adalah lanjutan keresahan Melayu yang sudah lama dan diperbaharui oleh aktor-aktor yang silih berganti demi survival politik golongan politikus gagal.
"Mereka yang menggunakan pendekatan ultra ethno-nasionalisme atau ketuanan bangsa, akan menghakis teras kebangsaan, sementara di satu pihak lain, mereka menggunakan liberalisme demokrasi sebagai topeng menghakis jati diri kebangsaan yang diasaskan sejak merdeka.
"Kegagalan ini juga berpunca oleh sikap sebahagian masyarakat yang tidak memahami falsafah dan proses pembinaan negara Malaysia terbentuk," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!