Petak ikan diubah suai jadi tangki minyak
KLANG - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor menahan sebuah bot nelayan tempatan Kelas B dipercayai mengubah suai petak ikan menjadi tangki minyak semalam.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, bot tersebut ditahan pada jarak kira-kira 0.1 batu nautika selatan dari Pulau Ketam.
"Bot tersebut juga didapati melanggar syarat sah lesen," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohammad Rosli berkata, pihaknya mendapati seorang kru dan tekong berada di atas bot berkenaan.
"Kedua-dua lelaki tersebut merupakan warga tempatan berusia 38 dan 45 tahun," katanya.
Bot dan kedua-dua lelaki itu dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!