Peguam peribadi Netanyahu bakal didakwa ubah wang haram
TEL AVIV - Pejabat pendakwa Israel akan memfailkan dakwaan terhadap peguam peribadi Perdana Menteri Benjamin Netanyahu atas tuduhan pengubahan wang haram.
Semalam, Peguam Negara, Avichai Mandelblit berkata, beliau akan mendakwa David Shimron untuk kes rasuah digelar The Submarine Affair yang melibatkan pembelian kapal selam dan kapal ketenteraan dari syarikat Jerman, Thyssenkrupp dengan jumlah keseluruhan sekitar 2 bilion euro (RM9.24 bilion).
Kes tersebut membabitkan dua tawaran yang ditandatangani Israel dan pembuat kapal Jerman, melibatkan pembelian tiga kapal selam untuk 1.5 bilion euro (RM6.93 bilion) dan bot peluru berpandu bagi melindungi platform penggalian gas pada nilai 430 juta euro (RM1.9 bilion).
Menurut Mandelblit, dakwaan juga bakal dikenakan terhadap ahli perniagaan Michael Ganor yang mewakili Thyssenkrupp di Israel dan bekas ketua tentera Tel Aviv, Eliezer Marom.
Pada November tahun lalu, polis mengumumkan pihak berkuasa telah mempunyai cukup bukti untuk mendakwa beberapa suspek termasuk sepupu Netanyahu, Shimron.
Perdana Menteri itu turut disoal siasat berhubung kes berkenaan namun tiada dakwaan difailkan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!