Pelajar parah terjatuh dari tingkat empat
ALOR SETAR - Seorang pelajar perempuan sebuah sekolah menengah di sini, ditemui cedera parah selepas terjatuh dari tingkat empat bangunan sekolah itu pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira 6.50 pagi, pelajar berusia 17 tahun itu mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan kaki.
Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, Jabatan Kecemasan Dan Trauma, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) telah merawat seorang pelajar dipercayai terjatuh dari bangunan sekolah dan masih ditempatkan di Zon Merah untuk pemantauan rapi.
Menurutnya, pelajar berkenaan turut menerima rawatan daripada pakar Jabatan Kecemasan dan Trauma serta pakar pembedahan dan Ortopedik.
“HSB menerima panggilan pada 7.04 pagi, mangsa tiba di HSB sekitar 7.40 pagi dan terus dimasukkan ke Zon Merah bagi rawatan kecemasan. Pelajar terbabit tidak sedarkan diri dan dalam keadaan kritikal dan memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.
Dr Norhizan berkata, mangsa turut mengalami kecederaan iaitu luka pada dahi kanan, patah tulang antaranya di bahagian tengkuk dan kedua-dua peha kanan dan kiri.
“Memandangkan keadaan beliau masih kritikal, pasukan pakar yang merawat masih berusaha menstabilkan keadaan mangsa sebelum meneruskan rawatan lanjut,” katanya.
Seorang lelaki dipercayai bapa mangsa yang ditemui media di HSB enggan ditemubual.
Sementara, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!