Takut berkhatan, 'Spiderman' pun tak berjaya pujuk...

Tak makan pujuk.. Zairil Amri (duduk, kiri) menangis enggan dikhatankan kerana takut.
Tak makan pujuk.. Zairil Amri (duduk, kiri) menangis enggan dikhatankan kerana takut.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Rasa takut untuk berkhatan menyebabkan seorang kanak-kanak melarikan diri sebaik memasuki bilik berkhatan ketika program Jom Khatan di Hotel Bersama Asnaf anjuran Paya Bunga (PB) Hotel di sini hari ini.

Zairil Amri Abdullah, 12 dari Kampung Baru, Seberang Takir, Kuala Nerus tidak henti menangis walaupun puas dipujuk.

Ibunya, Rosni Shamsudin, 35, berkata, anaknya itu mendapat giliran pertama namun lari sebaik melihat doktor dan petugas di dalam bilik khas yang disediakan untuk berkhatan itu.

"Nombor giliran dia yang pertama, sekarang terpaksa tunggu nombor paling akhir sebab dia tak berhenti menangis sambil beritahu dia takut," katanya.

Menurut Rosni, dia pernah bercadang untuk mengkhatankan anak sulungnya itu tahun lalu namun terbantut kerana Zairil Amri terpaksa dibedah kerana mengalami masalah apendiks.

"Tahun lepas dah rancang nak sunat tapi tak jadi. Jadi saya dan suami rancang untuk khatankan dia tahun ni.

"Mula-mula beritahu nak sunatkan dia, muka dia memang dah berubah. Sampailah hari ini, dia kata dia takut sangat nak sunat.

"Sehinggakan 'Spiderman' pun tak boleh nak pujuk dia, dah tak makan pujuk dah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Rosni (kanan) mencuba pelbagai cara memujuk anaknya untuk berkhatan.
Rosni (kanan) mencuba pelbagai cara memujuk anaknya untuk berkhatan.

Rosni berkata, dia mengakui agak khuatir kerana ia adalah pengalaman pertama berdepan situasi itu.

"Saya bukan apa, khuatir kalau dia bertindak di luar kawalan sehingga menyukarkan pihak perubatan dan kakitangan hotel.

"Apapun saya akan cuba juga pujuk untuk hilangkan rasa takut dan rasa tekanan yang dia alami" katanya.

Lain pula cerita bagi Wan Muhammad Sazlisyam Wan Mohd Sayuti, 10, dari Kampung Padang Midin.

Katanya, pada mulanya dia agak gugup kerana sering dibayangi rasa sakit, namun rasa berdebar hilang kerana proses itu berjalan lancar dalam masa singkat.

"Mula-mula berdebar sangat, mujurlah ada kedua ibu bapa dan adik beradik yang lain memberi semangat.

"Saya rasa amat lega bila dah siap menjalani proses berkhatan. Perasaan takut, resah dan gelisah terus hilang.

"Rasa sakit juga tapi macam kena gigit semut je," katanya.

Dah siap..Wan Muhammad Sazlisyam (dua dari kanan) bersama ibu bapa serta adiknya ketika menyertai program Jom Khatan di Hotel Bersama Asnaf anjuran Paya Bunga (PB) Hotel di sini hari ini.
Dah siap..Wan Muhammad Sazlisyam (dua dari kanan) bersama ibu bapa serta adiknya ketika menyertai program Jom Khatan di Hotel Bersama Asnaf anjuran Paya Bunga (PB) Hotel di sini hari ini.

Wan Muhammad Sazlisyam ditemani bapa, Wan Mohd Sayuti Wan Ghazali, 46, dan ibunya, Nur Zaihazlina Khazali, 38, serta seorang adiknya.

Sementara itu, Eksekutif Pemasaran dan Komunikasi PB Hotel, Zulkifly Mohd Yusof berkata, seramai 29 peserta yang berusia antara lima hingga 13 tahun.

Katanya, terdapat empat asnaf yang turut menyertai program berkhatan yang dikendalikan oleh seramai enam pegawai perubatan.

"Kesemua peserta mendapat layanan istimewa daripada 'Spiderman' yang dikhaskan untuk menghiburkan mereka.

'Spiderman' ni kita bawakan khas untuk hilangkan tekanan selain acara terjun kolam. Kita juga pasang televisyen supaya kanak-kanak ini tidak rasa tertekan.

"Bagi peserta dalam kalangan asnaf mereka mendapatkan perkhidmatan khatan secara percuma manakala peserta lain mengambil pakej yang ditawarkan oleh pihak hotel," katanya.

Program Jom Khatan PB Hotel menyediakan dua pakej iaitu pakej Iron Kid bernilai RM350 meliputi harga menginap di hotel, berkhatan dan pakej sarapan pagi.

Manakala pakej Spider Kid pula bernilai RM195 iaitu pakej berkhatan dan sarapan pagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!