Prestasi menteri

A
A
A

Sejak kebelakangan ini, hal yang tak habis-habis dibincangkan oleh ramai orang ialah prestasi menteri. Di mana-mana sahaja orang akan bercakap ada menteri itu yang perform dan ada pula menteri yang gagal. Cuma yang menjadi masalah besar ialah apakah yang dikatakan perform dan apa pula yang dikatakan gagal itu? Ia hal yang sangat subjektif.

Sejak puluhan tahun dahulu, ketika kerajaan Barisan Nasional (BN) memerintah negara, jarang pula orang bercakap tentang prestasi baik atau buruknya barisan menteri ini. Mustahil sangat jika dalam puluhan menteri yang ada itu, semuanya baik-baik belaka. Tentu ada yang gagal. Malah, yang banyak dihadapkan ke mahkamah sejak akhir-akhir ini kebanyakannya bekas menteri belaka. Tetapi, waktu dahulu tak ada pula yang bercerita tentang gagal berjayanya menteri-menteri itu.

Jika dikatakan menteri-menteri terdahulu baik dalam menguruskan kehidupan kita, kelihatannya harga barang tetap naik juga. Harga minyak tetap melonjak seperti biasa. Tol tetap perlu kita bayar di mana-mana sahaja, malah ada jalan yang dahulunya jalan persekutuan dinaik taraf menjadi jalan bertol pula.

Jadi, sebenarnya yang sedang banyak kita bincangkan tentang gagal berjayanya menteri mutakhir ini, adakah sebab menteri tadi benar-benar gagal atau kerana kita sedang memberikan banyak kebebasan untuk orang bercakap? Adakah Menteri Pendidikan boleh dianggap gagal hanya kerana beliau telah memulakan langkah pertamanya dengan bercakap hal kasut dan stoking hitam? Memanglah, kita juga berharap agar seorang menteri bercakap hal polisi yang lebih besar, tetapi adakalanya mereka mungkin sedang bercakap hal yang kecil, tetapi telah diperbesarkan sehingga menjadi begitu besar.

Ada pula hal besar yang dahulunya banyak berlaku, tetapi telah diterbalikkan menjadi hal yang kecil sahaja. Dahulu, ketika krisis 1MDB memuncak, setiap hari para menteri bersyarah bahawa ia bukan kerugian. Ia sekadar perubahan unit itu dan unit ini sahaja, sehinggakan kita orang awam tidak pula merasa berlaku sebarang transaksi kewangan dalam pindahan unit itu dan unit ini. Kita dikelirukan dengan maklumat dibalik terminologi yang pelik tadi.Mungkin inilah fenomena post-truth yang sedang kita hadapi apabila semua orang diberi ruang untuk bercakap apa yang mereka mahu. Post-truth ialah keadaan apabila emosi digunakan untuk mengubah persepsi dan kepercayaan seseorang terhadap sesuatu. Adakalanya ia dikaitkan dengan hal tak berkaitan yang membuatkan orang merasa tersinggung dan kemudiannya mengaitkan dua kejadian sebagai hal yang sama.

Misalnya, apabila seorang ahli jawatankuasa masjid mencadangkan agar jemaah menderma lebih sedikit setiap kali hari Jumaat, orang tadi mungkin akan pula dikaitkan dengan lemahnya menguasai hukum tajwid ketika membaca al-Quran. Akhirnya yang banyak dibincangkan oleh kariah masjid ialah tentang salah silap hukum tajwid tadi, dan bukan lagi dengan hal menderma di tabung masjid. Kebaikan terus dilupakan dan keburukan terus diulang-ulang.

Terbalik

Berbanding dahulu, kini media kelihatannya lebih bebas dan boleh menulis banyak perkara. Munculnya media sosial dengan berita tanpa tapisan, sama ada betul atau salah telah menyebabkan banyak lagi cerita sensasi dapat dilayangkan di mana-mana sahaja. Mungkin ada menteri yang lawa telah menjadi comot. Ada ahli politik yang dahulunya sangat kita bosan, kini telah menjadi tampan semula dengan komen ‘bernas’ mereka di Twitter dan Facebook.

Berbalik kepada cerita prestasi menteri Kabinet kita, sebenarnya apakah yang kita andaikan sebagai baik dan apa pula yang wajar kita katakan ia sebagai buruk?

Artikel Berkaitan:

Sebenarnya ia bukan sekadar bergantung kepada siapa menteri tadi, tetapi juga bergantung siapa diri kita juga. Jika kita sukakan seseorang atau satu-satu parti maka apa sahaja yang dilakukan oleh pemimpin parti tadi akan kelihatannya baik belaka. Dahulu, tatkala sebahagian besar penyokong pembangkang tidak mahu menonton berita di televisyen atau membaca akhbar kerana dikatakan berat sebelah, kini hal sudah menjadi terbalik. Mereka yang menjadi penyokong kerajaan pada waktu itu, kini setelah menjadi pembangkang, melihat apa yang disiarkan dalam televisyen hanyalah propaganda belaka.

Akhirnya, kita ini sama sahaja. Daripada sibuk mencari salah sendiri, ada baiknya kita mencari salah orang lain. Daripada sibuk mencari apa kurangnya diri kita, ada baiknya kita cari apa kurangnya menteri kita. Salah kita, biarlah orang lain pula yang mencarinya. Bukankah itu kehidupan yang ideal?

* Profesor Madya Dr Mohd Awang Idris ialah Pakar Psikologi Pekerjaan dari Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya (UM)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!