Dua lelaki ditahan insiden gaduh di Kongres AMK
MELAKA - Polis menahan dua lelaki susulan insiden kekasaran dan pergaduhan yang berlaku ketika Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh hari ini.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, dua individu masing-masing berusia 29 tahun dari Kuala Lumpur dan 30 tahun dari Klang, Selangor itu ditahan bagi membantu siasatan insiden yang turut mengakibatkan dua orang cedera.
"Seorang mangsa cedera di dahi sebelah kanan manakala seorang lagi mengalami luka di bibir, bahagian bawah mulut, bahagian kepala sebelah kanan dan luka di bahagian belakang kepala.
"Bagaimanapun kita masih lagi menyiasat kes di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh," katanya.
Afzanizar turut mengesahkan pihaknya menerima tiga laporan berhubung insiden berkenaan.
Katanya, laporan polis diterima termasuk yang dibuat oleh bekas Pengerusi Tetap AMK, Mizan Adli Mohd Noor.
Terdahulu difahamkan situasi tegang itu berlaku selepas perwakilan AMK mendesak pemerhati segera balik dan memberi peluang kepada mereka untuk hadir pada kongres itu.
Berdasarkan video yang dimuat naik Sinar Harian, terdapat aksi jerit-menjerit menggunakan kata-kata kesat selain beberapa orang dilihat mula tolak menolak sesama mereka.
Tidak lama selepas itu, situasi bertukar menjadi ganas di mana beberapa orang telah bertumbuk dan menyebabkan seorang sayap Pemuda dan pemerhati mengalami kecederaan akibat dibaling batu.
Bagaimanapun, Skuad Keadilan mendakwa insiden kekecohan pagi tadi bermula daripada penyokong Timbalan Ketua AMK, Hilman Idham yang cuba membawa masuk Mizan Adli.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Bergaduh, bertumbuk sehingga berdarah'
Kongres AMK kecoh gara-gara tak pakai samping
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!