Pendidikan percuma: Sempat tak?

A
A
A

Sedang saya menatal media sosial sambil menilik membaca cerita-cerita yang dikongsikan, terserempak dengan dengan satu cerita yang menarik pula. Cerita ini masih hangat lagi.

Tajuknya tidak lain tidak bukan, tentang pendidikan percuma yang memang ditunggu ramai rakyat jelata. Terutamanya oleh bakal mahasiswa yang sedang resah gelisah memikirkan untuk menyambung pelajaran, serta berfikir pula di mana hendak dikorek mencari wang untuk bayaran yuran.

Mungkin juga cerita sangat istimewa untuk golongan yang sedang atau akan menanggung hutang pula apabila tamat belajar. Cerita pinjaman PTPTN juga tidak diketahui apa kesudahannya sekarang. Entah kesudahan baik atau kesudahan yang tidak baik. Sama-samalah kita tunggu.

Dalam petikan artikel tersebut, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik telah menyatakan tentang pendidikan percuma yang sedang dalam peringkat akhir dalam penelitian Kementerian Pendidikan.

Katanya lagi, sekali gus janji manifesto Pakatan Harapan akan dapat ditunaikan.

Katanya lagi, sekarang di peringkat sekolah pun dah kira percuma juga. Memang tidak ada yuran dikenakan untuk peringkat sekolah rendah dan menengah. Kira percumalah. Kalau adapun minimum sahaja dan hampir percuma.

Sebenarnya, di peringkat sekolah menengah boleh tahan juga bayarannya. Contohnya sekolah berasrama. Yuran makan ikut status gaji juga iaitu B40 lain harganya daripada M40. Selain itu ada pula baju-baju yang perlu dibeli. Baju prep tengah hari lain, prep malam lain pula. Baju balik kampung lagi.

Merujuk kembali kepada artikel yang saya sebutkan di atas, sekarang yang sedang diteliti adalah di peringkat universiti. Di peringkat universiti ini banyak belanjanya. Bukan sikit bayaran yurannya sekarang walaupun kata beliau hanya 10 peratus sahaja yang dikenakan daripada kos operasi universiti.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pada masa hadapan akan terus percuma dengan sebenar-benarnya percuma. Yuranlah yang percuma agaknya.

Sebelum ini saya pernah tinggal di universiti. Isteri menyambung pengajian Doktor Falsafah manakala saya menyambung Sarjana. Isteri dapat duit geran MyBrain. Saya membayar yuran pakai KWSP. Mybrain pun sudah tidak ada rasanya. Sayang sekali.

Setiap semester lebih kurang RM3,000 juga. Kemudian menyewa pula rumah di sekitar universiti yang sewanya boleh mencekik darah. Sempat menyewa untuk beberapa bulan sahaja sebelum memohon untuk menyewa di dalam kampus pula.

Saya bernasib baik kerana dapat menyewa sebuah rumah di dalam kampus sebagai pelajar yang berkeluarga.

Murahlah sewanya. Air percuma, Wifi pun percuma. Hanya membayar bil elektrik sahaja. Selain itu dapat lagi baucar buku. Maka seperti kata orang tua bijaksana, bulan naik, matahari pun naik.

Orang lain dapat tinggal hanya maksimum selama dua tahun sahaja, tetapi saya dapat pula tinggal selama empat tahun sehingga semuanya tamat belajar.

Maka ramai jugalah yang bertanya apa rahsianya saya dapat tinggal lama di dalam kampus. Saya pun tidak tahu sebenarnya. Tidak ada rahsia. Cuma hanya memohon rayuan untuk sambung tinggal sahaja.

Walaupun begitu, ada cerita sedih juga. Tapi bukanlah tentang saya. Tetapi tentang pelajar lain. Pelajar yang bukan berkeluarga. Mereka ini ada juga yang ikat perut pula. Pernah terjadi ada pelajar hampir pengsan di depan rumah saya.

Kebetulan pula isteri ada di situ. Bila ditanya, katanya tidak duit untuk makan pula. Maka isteri saya terus mengajak masuk ke rumah yang kebetulan lagi, baru sahaja selesai masak.

Jadi dengan adanya pendidikan percuma yang akan dilaksanakan nanti, diharap dapatlah membantu pelajar yang mungkin kesempitan ini. Pada masa sama, kalau boleh bantuan biasiswa hendaklah diberi juga.

Baucar buku janganlah dilupa. Itu salah satu perkara yang penting juga. Selain itu, suka juga saya hendak bertanya lagi. Kata Dr Maszlee, dijangkakan akan dilaksanakan dalam beberapa tahun lagi. Soalan saya, sempat tak dilaksanakan sebelum PRU 15 nanti? Bukan apa, takut tak sempat sahaja.

* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bersatira, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!