'Sehingga kini tidur masih bermimpikan tembakan'
KUALA LUMPUR - “Terus terang sehingga kini tidur saya masih bermimpikan bunyi tembakan pertempuran malah kadang-kadang bunyi yang sama masih terngiang-ngiang di telinga,” luah bekas anggota Cawangan Khas E3 (M) PDRM, Hussin Mohd Taib, 70.
Menurutnya perit jerih menyertai operasi menghapuskan pengganas komunis masih diingati meskipun peristiwa itu sudah 30 tahun berlalu.
Hussin berkata, paling tidak boleh dilupa ‘Op Kelisa’ yang disertai di Mentakab pada tahun 1986.
“Mencabarnya sebab operasi itu dalam bulan Ramadan, kami berjaya menumpaskan kumpulan komunis. Ketika itu mereka sedang cuba ambil bekalan makanan di sebuah rumah.
“Saya bersama lapan lagi anggota sudah mengepung rumah, dua anggota saya menyerbu masuk diikuti saya orang ketiga. Kami dihujani peluru namun berkat perancangan teliti, tidak sampai seminit keempat-empat anggota komunis itu berjaya ditembak mati,” katanya yang juga pernah berkhidmat di Sarawak.
Seorang lagi bekas polis, Mohd Aziz Mansor, 72, berkata dia pernah cedera dan menerima jahitan kerana cuba menangkap ketua Rejimen Komunis ke-16 di Kuala Lipis Pahang pada Februari 1981.
“Pasukan saya diarah mengadakan sekatan jalan raya pada hari berkenaan selepas mendapat maklumat ada ketua komunis dari Selatan Thailand mahu berjumpa dengan segerombolan komunis di Kuala Lipis.
Menurutnya, tujuan pertemuan itu adalah untuk membentuk gabungan bagi membekalkan bahan makanan dan senjata dengan komunis yang menghuni hutan sekitar Lipis dan Benta dan perkara itu tidak boleh dibiarkan berlaku kerana ianya akan menjadikan komunis di situ kuat.
“Memang gementar kerana ketua komunis itu adalah wanita diiringi oleh ‘bodyguard’ bersenjata. Kami buat sekatan jalan seperti biasa hinggalah pada saat kereta yang dinaiki suspek muncul.
"Bila saya cuba dekati kereta, lelaki (bodyguard) yang duduk di sebelah ‘wanita’ memerhatikan.
"Tidak semena-mena dia cuba mengeluarkan sesuatu ditangannya (pistol), saya buka pintu belakang sebelah tempat pemandu dan cuba himpit suspek dengan badan. Berlaku pergelutan, muka saya cedera kena bucu pintu kereta,” katanya.
Cubaan hidupkan PKM melampau
Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Kebajikan Bekas Anggota Skuad 69 PDRM, Datuk Alias Abdul Rahman berkata tindakan pihak tertentu seolah-olah cuba menghidupkan kembali Parti Komunis Malaya (PKM) di negara ini sebagai melampau dan tidak mengenang jasa pasukan keselamatan yang pernah berjuang.
“Apa yang nak dibanggakan dengan pengganas, kami bertempur dan ramai antara kami terkorban, sedih apabila ada pihak cuba hendak iktiraf dan agungkan pengganas komunis.
"Kononnya majlis memperingati dengan kebetulan pula abu mayat ketua pengganas boleh dibawa masuk dalam negara, lepas ni apa pula?” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, kerajaan perlu bertindak tegas kerana jika dibiarkan mereka akan merancang pelbagai lagi perkara dan berterusan mencabar kedaulatan negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!