Pemandu lori tuduh polis minta wang ketika pemeriksaan ditahan

Pemandu lori ditahan selepas didapati melakukan provokasi dan menuduh polis meminta wang ketika pemeriksaan di Jalan Lahat kelmarin. (Anggota polis menahan sebuah lori yang didapati membawa rangka kereta dalam keadaan mencurigakan.)
Pemandu lori ditahan selepas didapati melakukan provokasi dan menuduh polis meminta wang ketika pemeriksaan di Jalan Lahat kelmarin. (Anggota polis menahan sebuah lori yang didapati membawa rangka kereta dalam keadaan mencurigakan.)
A
A
A

IPOH - Seorang pemandu lori ditahan selepas melakukan provokasi dan menuduh polis meminta wang ketika menjalankan pemeriksaan di Jalan Pasir Putih-Lahat berhampiran Bandar Lahat Baharu di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, polis telah menahan sebuah lori didapati telah membawa muatan rangka kereta dalam keadaan mencurigakan kira-kira jam 9.45 pagi.

Menurutnya, anggota tersebut menjalankan prosedur dengan meminta kad pengenalan dan lesen memandu tetapi suspek yang berusia 33 tahun itu telah memberi alasan bahawa kedua-dua dokumen itu tercicir di kedai barang lusuh.

“Anggota berkenaan turut meminta butir-butir penumpang dan wanita itu turut memaklumkan tidak membawanya.

“Ketika bertanyakan mengenai rangka kereta berkenaan dan diberi kertas laporan polis, wanita tersebut terus mengeluarkan telefon bimbit dan merakam sambil berkata ‘mahu buat laporan polis minta duit’,” katanya.

Beliau diminta mengulas tular di Facebook mengenai sebuah video kekecohan yang berlaku melibatkan seorang anggota polis berpangkat Sub Inspektor dan suspek yang dirakam oleh wanita berkenaan.

A Asmadi berkata, pasangan terbabit telah membuat kecoh dan enggan bekerjasama ketika diminta pergi ke Balai Polis Lahat untuk diberikan saman atas kesalahan membawa barangan melebihi had muatan.

“Dalam kekecohan itu, tiba-tiba suspek terus mengeluarkan serta memberi kad pengenalannya dan berkata ‘mahu buat laporan polis curi kad pengenalan’.

Artikel Berkaitan:

“Suspek terus masuk ke dalam lori dan berlalu meninggalkan tempat kejadian serta kad pengenalannya. Anggota berkenaan cuba mengekorinya tetapi gagal,” katanya.

Katanya, berdasarkan dokumen itu, polis menjalankan siasatan dan tangkapan terhadap suspek.

“Suspek telah dikesan dan ujian urin dapati negatif. Siasatan lanjut mendapati suspek ada beberapa rekod kesalahan lampau dalam trafik termasuk mempunyai empat waran tangkap.

“Suspek ditahan untuk permohonan reman dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang tugas penjawat awam,” katanya.

Kata, suspek juga telah membuat satu aduan di Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) dan laporan di Balai Polis Bercham kerana tidak berpuas hati dengan tindakan anggota polis terbabit dan mahu perkara itu dirujuk ke Tatatertib PDRM.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!