Peranan Amanah sejahterakan ekstrem ultra Melayu, hyper liberal
SHAH ALAM - Kepimpinan Parti Amanah Negara (Amanah) digesa untuk memainkan peranan bagi mensejahterakan dua pertembungan pandangan pemikiran antara ekstrem ultra Melayu dengan hyper-liberal.
Perwakilan dari Johor, Noor Halim Sakib berkata, ketika ini pertembungan berlaku kerana di satu pihak berasa tercabar dan bimbang hak Melayu diambil sementara kelompok hyper-liberal pula membawa idea menghapus elemen tradisi yang menjadi nilai teras dalam pembinaan semula negara.
Beliau berkata, tindakan kelompok hyper-liberal ini pula dilihat seolah-olah mendapat keizinan dari kepimpinan parti.
"Dalam situasi ini di manakah Amanah khususnya Pakatan Harapan sebagai sebuah kerajaan meletakkan diri untuk berdepan dengan dua pertembungan yang berlaku ini?
"Amanah seharusnya melangkah ke depan dalam menghadapi dua pandangan pemikiran tersebut.
"Antara yang boleh dilakukan kepimpinan parti dalam isu ini adalah dengan memperkasakan slogan Rahmatan Lil Alamin sebagai gagasan yang mendasari sehingga ke akar umbi dan bukan sekadar slogan pemanis bibir," katanya ketika membahaskan Pidato Presiden pada Konvensyen Nasional Amanah 2019 di Pusat Konvensyen IDCC di sini hari ini.
Noor Halim berkata, pimpinan Amanah perlu bersungguh- sungguh untuk menunjukkan komitmen bagi merealisasikan slogan ini.
Beliau berkata, selain itu, pimpinan Amanah juga perlu memperkasakan aspek komunikasi parti yang dilihat sangat lemah sehingga menyebabkan ahli-ahli di peringkat bawah sukar untuk mengakses maklumat untuk disebarkan kepada masyarakat.
"Terlalu banyak isu berlaku dalam pemerintahan kerajaan baru sehingga kita tidak larat untuk tangani.
"Dahulu di media sosial kita bukan main bersuara tapi sekarang diam...pembangkang pula mendahului sistem komunikasi di media sosial tapi kita sebagai kerajaan di mana?, " katanya.
Katanya, beliau berharap Amanah sebagai parti dalam kerajaan dapat menggarap kaedah untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat agar tidak dilitupi maklumat-maklumat daripada pembangkang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!