'Jangan ketepikan kepentingan orang asli'

Ramli berucap ketika Perhimpunan Agung UMNO 2019 di PWTC, Kuala Lumpur hari ini. - FOTO ZAHID IZZANI
Ramli berucap ketika Perhimpunan Agung UMNO 2019 di PWTC, Kuala Lumpur hari ini. - FOTO ZAHID IZZANI
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kepimpinan UMNO diingatkan agar tidak sesekali mengenepikan kepentingan orang asli dalam agenda perjuangan parti.

Perkara itu disuarakan perwakilan UMNO Pahang, Ramli Mohd Nor ketika membahaskan usul ucapan dasar Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sempena Perhimpunan Agung UMNO 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Ramli yang juga Ahli Parlimen Cameron Highlands menegaskan, selaku wakil orang asli pertama diangkat sebagai pemimpin dalam sejarah negara melalui pemilihan, beliau akan memastikan hak dan kepentingan kelompok masyarakat itu sentiasa dijaga.

"Atas kapasiti diri saya sendiri sebagai ahli Parlimen berketurunan orang asli pertama dalam catatan sejarah negara, ingin saya menyatakan di sini kepada hadirin semua bahawa anda tidak perlu sangsi dan bimbang dengan matlamat perjuangan saya.

"Saya ingin nyatakan dengan tulus dan ikhlas di sini bahawa terus mengisytiharkan menyokong perjuangan politik UMNO dan menyokong perlembagaan UMNO tanpa sebarang kesangsian.

"Jadi, jangan sesekali terlintas di fikiran pemimpin dan ahli UMNO untuk mengenepikan hak dan kepentingan masyarakat orang asli ini," katanya.

Menurutnya, meskipun secara dasarnya masyarakat orang asli hanyalah kumpulan minoriti di negara ini, namun sokongan mereka kepada UMNO tidak boleh dipandang sepi.

Sementara itu, dalam ucapan sama, Ramli turut menitipkan pesanan kepada kepimpinan dan ahli UMNO supaya tidak mengamalkan perjuangan individu atau kumpulan semata-mata sekiranya ingin melihat parti terus utuh.

Artikel Berkaitan:

"Ingin saya ingatkan kepada semua perwakilan agar berhati-hati kerana gerakan musuh untuk menggagalkan kita (perjuangan UMNO) telah dikesan dan mula menyerang dengan melagakan kepimpinan agar tidak sependapat dan sepakat.

"Justeru, pulanglah ke asas perjuangan asal kita jika wujud sebarang konflik dan jangan sesekali khianati perjuangan parti," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!