'Kita tak mahu ada anai-anai dalam UMNO'
KUALA LUMPUR - Perwakilan UMNO Pulau Pinang, Datuk Omar Faudzar menyifatkan tindakan pemimpin dan ahli Parlimen parti itu yang bertemu menteri untuk berbincang mengenai peruntukan seperti anai-anai yang boleh meruntuhkan parti.
Beliau juga mempersoalkan jati diri pemimpin terlibat yang seperti terdesak meminta peruntukan sedangkan baru 18 bulan menjadi pembangkang.
"Kita tak mahu ada anai-anai dalam UMNO, sebab anai-anai ini boleh meruntuh parti kita. Berpuluh tahun Pas dan PKR jadi pembangkang, pernahkah mereka merempat datang jumpa menteri UMNO nak peruntukan?
“Mana jati diri pemimpin UMNO? Kalau tak ada jati diri, jangan jadi pemimpin, bagi sahaja pada kami.
“Kami di bawah dapat banyak tawaran daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), tapi kami tolak sebab semangat jati diri kami lebih kuat dari yang di atas (ahli Parlimen)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung UMNO 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Omar juga menggesa pemimpin terlibat dengan pertemuan itu keluar parti kerana gagal patuh kepada pucuk pimpinan.
"Kita duduk dalam dewan (Merdeka) sebagai ahli, dalam satu persatuan, kita ada presiden. Bila ada dalam persatuan, ada presiden, ikut cakap presiden. Kalau tak mahu duduk, tak mahu dengar cakap presiden, jangan duduk dalam persatuan," katanya.
Berikutan itu, Omar meminta Presiden UMNO agar bersikap lebih tegas dengan sikap pemimpin seperti itu.
“Kadang-kadang saya tengok presiden nak jawab pun takut. Jangan takut... semua perwakilan bagi sokongan kepada presiden. Nak jadi presiden kena tegas," katanya.
Pada 18 November lalu, sekumpulan Ahli Parlimen UMNO hadir ke kediaman Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Presint 10, Putrajaya.
Isu tersebut menjadi pertikaian hangat dalam politik tanah air kerana mendakwa pertemuan itu untuk mendapatkan sokongan bagi menafikan cubaan menjatuhkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melalui undi tidak percaya.
Bagaimanapun dalam reaksi balas pemimpin terlibat, pertemuan bersama Mohamed Azmin itu adalah bagi membincangkan peruntukan untuk disalurkan kepada kawasan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!