Tiada pertemuan 'Kembali ke Landasan Reformasi'

Lobi Hotel Renaissance lengang.
Lobi Hotel Renaissance lengang.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiada kelibat ahli dan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang hadir ke Hotel Renaissance Jalan Ampang di sini di mana dikatakan pertemuan 'Kembali Ke Landasan Reformasi, Rapat Keadilan Perjuangan' akan diadakan di lokasi berkenaan.

Sebelum ini timbul dakwaan satu pertemuan berasingan bakal diadakan di Kuala Lumpur berlangsung serentak dengan Kongres Tahunan Nasional PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh yang bermula hari ini dan esok.

Tinjauan Sinar Harian selama tiga jam di Hotel Renaissance bermula jam 9. 30 pagi pada hari ini mendapati lobi hotel berkenaan lengang.

Hasil maklumat diperoleh dari pihak hotel mengesahkan tiada tempahan sebarang program politik termasuk dari PKR berlangsung pada hari ini dan esok.

Malah, skrin paparan program harian juga menunjukkan tiada sebarang program seperti didakwa melainkan majlis perkahwinan dan makan malam sambutan Krismas.

Difahamkan satu makan malam PKR bakal diadakan di hotel sama malam esok selepas ditunda pada malam ini di Restoran Saloma di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) malam ini.

Bagaimanapun, pihak hotel tidak dapat mengesahkan akan perkara tersebut disebabkan pengesahan program hanya diketahui pada hari kejadian selewat- lewatnya pada pagi.

Terdahulu, desas-desus pertemuan ahli dan pemimpin PKR mula tular beberapa hari lalu sebelum Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nazree Yunus mengesahkan satu pertemuan berasingan bakal diadakan di hotel itu untuk ahli dan pemimpin PKR pada hujung minggu ini.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun kenyataan itu dibuat sebelum pertemuan antara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Mohamed Azmin pada sidang akhbar di Majlis Perasmian Kongres Nasional Tahunan Wanita dan Angkatan Muda Keadilan 2019 kelmarin menegaskan bahawa tiada perjumpaan berasingan melibatkan ahli parti itu selain Kongres Nasional di Melaka.

Sebelum ini, Anwar turut menegaskan mana-mana ahli parti itu yang menghadiri perhimpunan selain Kongres Nasional, bakal berdepan tindakan tegas termasuk pemecatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!