Pemuda UMNO harap tiada individu bentuk kerajaan ikut pintu belakang
KUALA LUMPUR - “Biar kita bertarung sebagai anak jantan di tengah gelanggang berbanding jadi pondan main belakang,” laung wakil Pemuda UMNO Bahagian Cheras, Johari Yazid.
Berucap di hadapan perwakilan semasa sesi perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO 2019, Johari menegaskan Pemuda berharap supaya tiada individu cuba membentuk kerajaan melalui pintu belakang.
Jelasnya, kepimpinan parti melalui Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan jelas menyatakan Muafakat Nasional menolak usaha sebegitu.
"Kepimpinan parti menyatakan dengan jelas, menyatakan tidak akan ada kerajaan melalui pintu belakang, keputusan perlu menerusi ‘end block’, keputusan perlu mengikut konsensus parti.
"Oleh itu Pemuda berharap janganlah ada lagi individu parti cuba menjadi hero buat spekulasi untuk menjadi kerajaan melalui rundingan pintu belakang,” katanya.
Tambah beliau, sekiranya Pemuda sedia berjuang meskipun di saat UMNO kalah, mengapa pemimpin di atas perlu berasa risau.
"Biar kita bertarung sebagai anak jantan di tengah gelanggang berbanding jadi pondan main belakang.
“Jujur, jujur rakyat mahukan kerajaan yang dipilih oleh rakyat. Kita harus terus mempertahankan agenda rakyat,” katanya.
Semalam, Ahmad Zahid menegaskan Melalui Muafakat Nasional, UMNO dan Pas tidak mengimpikan perubahan kerajaan melalui pintu belakang yang kini dianggap sudah terbuka luas.
Menurutnya, walaupun kini pintu depan dan pintu belakang terbuka, kedua-dua parti itu tetap memilih pintu hadapan.
“Kita akan bina kerajaan sendiri mengikut lunas-lunas demokrasi seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Sementara kita bersiap menunggu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), banyak perkara perlu kita selaraskan dalam Muafakat Nasional,” katanya dalam ucapan pada Perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!