UMNO guna taktik lama, ulangi polemik RUU 355: Mujahid
SHAH ALAM - Idea UMNO meminda Fasal 3 perlembagaan parti itu dengan meletakkan agama Islam di hadapan tidak lebih sekadar mengulangi polemik Rang Undang Undang (RUU) 355 diperjuangkan parti itu bersama Pas sebelum ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, polemik RUU 355 kononnya dikaitkan dengan pelaksanaan hukum hudud sebelum ini adalah satu idea ditimbulkan untuk mengheret kerajaan Pakatan Harapan (PH) kepada sentimen keagamaan.
Beliau yang juga Naib Presiden Amanah menegaskan, idea lebih kurang sama cuba diulangi parti pembangkang terutama UMNO apabila meminda perlembagaan parti dengan meletakkan agama Islam di hadapan.
"Nanti kalau kita tidak setuju, kita dianggap cuba menentang Islam.
"Taktik mendatangkan polemik sebegini sama juga dengan perjuangan RUU 355 yang sekadar cuba meniupkan sentimen keagamaan terhadap PH suatu ketika dahulu.
"Islam dalam perlembagaan Persekutuan sudah cukup jelas terjamin dan kami langsung tidak berminat diheret ke dalam kancah polemik keagamaan sebegini," katanya kepada Sinar Harian pada Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara (Amanah) 2019 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini hari ini.
Semalam, media melaporkan UMNO melakukan pindaan fasal 3 perlembagaan parti itu dengan meletakkan agama Islam di hadapan.
Selain usul pindaan berkenaan, difahamkan terdapat 12 lagi usul bagi meminda perlembagaan parti itu dikemukakan pada persidangan berlangsung malam tadi dan kesemuanya diluluskan sebulat suara.
Mengikut fasal 3 perlembagaan UMNO, asas dan tujuan: "UMNO adalah sebuah parti politik berjuang mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara".
Berdasarkan pindaan itu, UMNO meletakkan Islam (agama) di hadapan kemudiannya disusuli dengan bangsa dan negara.
Pindaan itu selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan bagi negara ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!