Muafakat Nasional diinstitusikan tahun depan
KUALA LUMPUR - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan Konvensyen Muafakat Nasional peringkat kebangsaan mungkin diadakan sebelum bulan Mei tahun depan.
Menurutnya, sekiranya ia dilaksanakan pada tahun hadapan, Ahmad Zahid menegaskan secara rasminya Muafakat Nasional akan dirasmikan dan diformalkan pelaksanaannya.
“Konvensyen Muafakat Nasional telah mula berjalan di peringkat negeri. Insya-ALLAH sebelum bulan Mei tahun depan, sebuah konvensyen Muafakat Nasional di peringkat kebangsaan akan dijalankan.
“Di mana ketika itu secara rasminya Muafakat Nasional akan dirasmikan dan diformalkan pelaksanaannya,” katanya dalam ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Kenyataan terbaharu Ahli Parlimen Bagan Datuk itu seolah-olah menyambut kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang menyarankan Muafakat Nasional diinstitusikan.
Sejarah tercipta pada 14 September 2019 selepas dua parti Melayu tertua dan terbesar di Malaysia memeterai perjanjian yang dinamakan Piagam Muafakat Nasional.
Dalam piagam tersebut, kedua-dua parti bersetuju membentuk kerjasama dengan mengembangkan naratif Islam dan Melayu tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum serta kesejahteraan negara.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid mengulangi keyakinannya bahawa UMNO dan Pas mampu menawan Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) melalui kesepakatan itu.
“Jika penyatuan dan permuafakatan dalam kalangan kita dipertingkatkan, jika chemistry terus disuburkan sama-sama dengan Pas, rakan BN (Barisan Nasional) dan rakan di Sabah dan Sarawak, saya hampir pasti.
“Saya bukan mahu mendahului hukum ALLAH, memang bila ada PRU15, Putrajaya Insya-ALLAH menjadi milik kita. Tetapi untuk jaga Muafakat Nasional, bukan boleh dilakukan seorang tokoh saja,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!