Bayar RM50 untuk berkhatan
JEMPOL - Hanya dengan membayar RM50 seorang, seramai 100 kanak-kanak berumur antara enam hingga 12 tahun sekitar daerah ini selamat dikhatankan di Hospital Jempol kelmarin.
Pengarah Hospital Jempol, Dr Zul Iskandar Zainudin berkata, pihaknya tidak menafikan kos berkhatan rata-rata bernilai lebih RM150 seorang.
"Menjadi kelaziman setiap kali musim cuti persekolahan, ibu bapa akan mengambil kesempatan untuk khatan anak-anak namun apa yang menjadi kegusaran kepada mereka adalah untuk menampung kos berkhatan tersebut.
"Justeru itu, kami dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah, Pejabat Penyelaras DUN (Dewan Undangan Negeri) Serting dan juga Persatuan Belia Felda Raja Alias 4, menganjurkan program Khatan Perdana ini bagi meringankan beban ibu bapa," katanya.
Program yang berlangsung selama dua hari ini melibatkan seramai 15 pegawai perubatan dan 22 penolong pegawai perubatan selain dipantau oleh pakar perunding Jabatan Pembedahan Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah.
Hadir sama, Penyelaras DUN Serting, Abd Rahman Ramli dan Pegawai Daerah Jempol, Mas Midyawan Yahya.
Zul Iskandar berkata, selain dapat merapatkan hubungan agensi bersama komuniti, pihaknya dapat melatih kakitangan perubatan berhubung teknik khatan yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan.
Sementara itu, Abd Rahman berkata, selari dengan peredaran zaman, kecanggihan teknologi dan dunia perubatan telah membawa definisi baharu dalam dunia berkhatan.
"Jika dulu perlu berendam di sungai berjam lamanya, namun sekarang tidak perlu lagi. Justeru, program sebegini harus diteruskan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!