20 rumah hangus dijilat api
TAWAU - Lebih 20 keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas 20 rumah di Kampung Titingan di sini musnah dalam kebakaran, petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Sharudy Delamin berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 4.29 petang dan 16 anggota bergegas ke lokasi kejadian dengan tiga jentera.
"Setibanya di lokasi kejadian, tiga rumah sudah musnah terbakar dan anggota bertugas menghadapi kesukaran untuk masuk ke kawasan kebakaran ekoran terhalang oleh tembok pemisah antara kampung dengan rumah PPR (Projek Perumahan Rakyat).
"Jadi kami terpaksa menggunakan tangga untuk menaiki tembok berkenaan sebelum menyeberang ke kawasan kebakaran.
"Kami mendapati pili bomba yang terdapat di kawasan berkenaan tidak mengeluarkan air, namun api dapat dikawal selepas menerima bantuan bekalan air daripada lori tangki dan api dikawal sepenuhnya kira-kira 5.05 petang," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Operasi turut dibantu 14 ahli Bomba Komuniti, 20 anggota polis, enam anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan 14 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan manakala punca kejadian masih dalam siasatan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!