Kedah sedia jalin kerjasama industri, pelancongan

Mukhriz (tengah) bersama delegasi duta dan diplomat asing di Jeti Pelancongan Semeling sebelum menyusuri Sungai Merbok untuk menikmati panorama indah.
Mukhriz (tengah) bersama delegasi duta dan diplomat asing di Jeti Pelancongan Semeling sebelum menyusuri Sungai Merbok untuk menikmati panorama indah.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Kedah bersedia menjalin kerjasama dalam sektor perindustrian dan pelancongan dengan menawarkan pakej bersesuaian serta menyeluruh bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, kunjungan delegasi disertai 24 duta besar dan diplomat dari 30 buah negara ke Kedah, bakal menjadi suntikan dalam menarik lebih ramai pelabur dari negara berkenaan.

Menurutnya, Kedah memiliki pelbagai kemudahan prasarana dan insentif menarik kepada pelabur yang berhasrat menjalin kerjasama dalam pelbagai sektor.

“Saya harap mereka dapat sampaikan berita baik mengenai Kedah setelah kembali ke negara masing-masing untuk menarik minat pelabur dari negara terbabit.

"Kunjungan delegasi ini diharap dapat membuka kerjasama sinergi yang berpotensi antara kedua-dua negara, malah kita bersedia meneroka idea baharu yang boleh memanfaatkan kedua-dua pihak,” katanya selepas taklimat dan jamuan tengah hari bersama delegasi duta dan diplomat asing diketuai oleh Duta Besar Azerbaijan ke Malaysia, Profesor Dr Qaley Allahverdiyev di Kompleks Jeti Pelancongan Semeling hari ini.

Mukhriz berkata, sektor pelancongan turut berpotensi diketengahkan susulan negeri ini kaya dengan sumber alam semula jadi selain landskap geografi yang luar biasa.

“Kita harus ambil kesempatan atas anugerah ini, terdapat banyak tempat berpotensi dibangunkan sektor pelancongan di Kedah, malah saya mengalu-alukan wakil dari negara luar untuk menjadi sebahagian daripada rakan pembangunan dengan menjalin kerjasama pada masa depan,” katanya.

Mukhriz turut berkongsi keindahan tempat menarik di tanah besar selain Pulau Langkawi yang dikenali dunia.

Artikel Berkaitan:

“Pelancongan adalah penyumbang ekonomi kedua terbesar di Kedah. Saya harap maklumat dikongsi Majlis Perbandaran Sungai Petani mampu menarik negara luar untuk meneroka Kedah kerana Kedah memiliki keunikan tersendiri.” Katanya.

Beliau berkata, Kedah turut mengintai sektor ekonomi baharu dalam mempelbagaikan ekonomi negeri, dan sedang memuktamadkan rancangan pembangunan untuk memastikan pembangunan mampan untuk negeri dalam tempoh 15 tahun akan datang.

“Rancangan Pembangunan Kedah 2035 dijangka dibentangkan tahun depan. Pada awal tahun ini, kerajaan pusat umumkan tujuh projek bernilai lebih RM3 bilion untuk pembangunan di Kedah. Antaranya, projek lapangan terbang antarabangsa bernilai RM1.6 bilion di Kulim atau KXP, dan lebuh raya Koridor Utara sepanjang 70 kilometer bernilai RM1.7 bilion,” katanya.

Mukhriz turut berkongsi hasrat kerajaan negeri untuk menarik sejumlah besar pelaburan langsung asing (FDI) ke negeri ini, terutamanya melalui pembangunan beberapa taman perindustrian baharu.

“Antara perancangan, taman perindustrian baru di Bukit Kayu Hitam, Kedah Rubber City di Bukit Ketapang, Padang Terap serta Sidam. Projek ini akan mewujudkan lebih banyak peluang kerja dan pelengkap kepada Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP),” katanya.

Katanya, penekanan turut diberikan bagi menyediakan pendidikan tinggi yang berkualiti kepada rakyat, dalam memastikan modal insan berkelayakan dan mahir terutama dalam sektor kejuruteraan.

“Untuk menjayakan hasrat itu, kami bakal jalin kerjasama membuka kampus cawangan universiti Jepun, menawarkan kursus kejuruteraan di Alor Setar,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!