Komunis bukan wira
SAYA sangat khuatir sejak kebelakangan ini perkara yang pada suatu ketika dahulu tidak diterima akal, hari ini mahu dijadikan sebaliknya oleh beberapa pihak.
Nilai dan budaya yang dahulunya asing mahu disemai di bumi Malaysia. Seolah-olah setiap hari ada sahaja perkara menggusarkan dilakukan di Malaysia.
Mereka mahu mengolah persepsi baharu kerana apabila setiap hari perkara asing diuar-uarkan ia mungkin suatu ketika nanti akan diterima masyarakat kebanyakan.
Perkara itu sangat menggusarkan dan perlu ditangani dengan segera. Pelbagai perkara yang mengejutkan berlaku di Malaysia beberapa hari kebelakangan ini.
Abu Chin Peng secara diam-diam dibawa pulang ke Malaysia dan disambut beberapa kalangan. Selepas itu timbul pula perkumpulan yang mahu mengingati Parti Komunis Malaya (PKM) di Kajang.
Tular juga beberapa insiden di mana perkumpulan membabitkan pemakaian pakaian seragam PKM. Mereka mendakwa abu Chin Peng itu sekadar abu sahaja dan tidak akan membawa apa-apa implikasi kepada negara.
Jika benarlah ia sekadar abu, mengapa ia perlu disambut dan dibuat ritual-ritual tertentu malah mendapat liputan meluas daripada media pula.
Hal itu menggambarkan terdapat agenda pihak-pihak tertentu dalam usaha mereka membawa pulang abu Chin Peng itu.
Daripada rentetan peristiwa itu seolah-olah ada golongan yang mahu menulis semula sejarah negara dan mahu PKM tidak lagi dibenci masyarakat awam.
Kekejaman dan kezaliman PKM mahu dipadamkan daripada memori negara. Mereka mungkin mahu PKM berada dekat di hati rakyat Malaysia menjadi norma lazim yang tidak lagi ditakuti oleh rakyat Malaysia.
Namun sebenarnya rakyat Malaysia masih belum dapat melupakan kezaliman PKM. PKM membunuh kejam ramai rakyat Tanah Melayu ketika itu tanpa mengira bangsa sama ada Melayu, India atau Cina.
Bagaimana mungkin rakyat Malaysia boleh menerima perjuangan PKM yang jauh tersasar daripada norma-norma kehidupan adil di Malaysia.
Bagaimana pula rakyat Malaysia yang mana datuk dan nenek mereka dibunuh oleh PKM? Darah mereka yang gugur melawan PKM dan mereka yang dibunuh PKM mestilah dibalas setimpal mengikut undang-undang.
Komunis bukanlah wira yang perlu dijulang. Mereka pengkhianat negara, merosakkan negara dan mahu menjajah dengan menerapkan ideologi komunis mereka di negara kita.
Jika dulu mereka berjaya menawan negara sudah pasti negara kita tidaklah ditadbir berdasarkan sistem demokrasi yang berpaksikan Islam sebagai agama bagi Persekutuan.
Persoalan timbul dalam perjumpaan yang diadakan sehingga mereka sanggup memakai pakaian seragam PKM. Ia simbol kepada perjuangan mereka yang mahu dihidupkan kembali.
Ia juga seperti mencabar pihak berkuasa agar mengambil tindakan dan menguji sama ada mereka berdaya mengambil tindakan terhadap mereka.
Oleh yang demikian pihak kerajaan dan pihak berwajib perlu mengambil tindakan segera bagi mengekang fahaman komunis dipelopori PKM itu dapat dihapuskan.
Kita tidak pernah mendengar cerita kebaikan PKM dahulu, masakan suatu pertubuhan yang baik tidak didengari sebarang kebaikan mereka.
Tanyalah orang tua-tua kita, adakah mereka mempunyai kenangan manis dengan PKM. Saya pasti jawapannya adalah negatif.
Saya mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan tegas kepada siapa sahaja yang cuba menghidupkan kembali PKM ataupun fahaman komunis.
Tiada tempat bagi komunis di Malaysia, fahaman komunis yang bertentangan dengan norma lazim masyarakat Malaysia tidak seharusnya diberi ruang di negara kita.
Sekiranya komunis diberikan pengiktirafan maka sia-sialah perjuangan pihak keselamatan dahulu yang berkorban nyawa dan mengalami kecacatan kekal semata-mata mempertahankan kedaulatan negara kita.
Kita sepatutnya berterima kasih kepada mereka atas pengorbanan mereka, bukan menghina mereka dengan mengiktiraf perjuangan jahat mereka itu.
Mengiktiraf komunis bermakna mengatakan tindakan mereka betul. Apabila tindakan mereka betul ia bermakna tindakan orang yang melawan mereka adalah salah.
Hal yang demikian tak boleh kita terima. Komunis adalah pengganas, polis dan tentera kita yang melawan komunis adalah wira negara.
Orang yang terkorban bertempur dengan komunis mempertahankan negara adalah mereka yang telah berkorban demi kesejahteraan kita semua. Hargailah mereka, hormati mereka dan kenanglah jasa mereka.
Komunis bukan wira, mereka tiada tempat di negara kita.
* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!