Baki bank tinggal RM78 sekelip mata!
KUANTAN - Seorang tukang urut terkedu apabila mendapati wang RM7,000 dalam akaun sebuah bank yang baru dibuka hanya berbaki RM78.
'Kehilangan' wang dalam akaun milik mangsa berusia 51 tahun dari Temerloh itu dipercayai dikeluarkan dua wanita dipercayai geng sindiket penipuan yang menyamar sebagai anggota polis.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian malang menimpa wanita itu susulan satu panggilan diterima daripada 'Suhaila' dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, 2 Disember lalu yang memaklumkan kad pengenalannya digunakan orang lain untuk urusan sewa kereta dan tujuan jenayah.
"Bagi tujuan siasatan lanjut, panggilan mangsa disambungkan kepada seorang 'pegawai polis' berpangkat inspektor bernama Aisyah dari ibu pejabat polis daerah itu dan mangsa diarah membuka akaun di sebuah bank dengan kemudahan kad pengeluaran wang automatik (ATM) kononnya bagi tujuan proses siasatan," katanya.
Mohd Wazir berkata, tanpa menyedari ditipu, mangsa akur apabila membuka akaun di sebuah bank seperti diarahkan dengan wang simpanan berjumlah RM7,000 dan menyerahkan maklumat termasuk tiga digit terakhir kad banknya
"Selepas urusan itu selesai, mangsa menyemak baki akaunnya dan mendapati wang yang tinggal hanya RM78, manakala hampir RM7,000 lagi lesap," katanya.
Beliau berkata, mangsa kemudian membuat laporan polis, semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!