'Sampai bila perlu pertaruh nyawa'

Keadaan jalan utama Kampung Lombong yang rosak teruk dan mengundang bahaya kepada pengguna.
Keadaan jalan utama Kampung Lombong yang rosak teruk dan mengundang bahaya kepada pengguna.
A
A
A

SHAH ALAM - Penduduk Kampung Lombong Seksyen 29, di sini mendesak Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari turun padang melihat sendiri jalan utama kampung berkenaan yang didakwa mengalami kerosakan teruk dan berlubang besar membahayakan pengguna jalan raya.

Pengguna, Ahmad Ismadi Omar, 45, menggambarkan kerosakan jalan dengan lubang sebesar 'kawah' seperti keadaan terkena bom dan lebih membahayakan apabila pengguna terpaksa beralah dengan lori hantu yang turut menggunakan laluan sama dipercayai ke kawasan pembinaan.

Menurutnya, pernah beberapa kali penunggang motosikal terhumban ke permukaan jalan pada waktu malam kerana tidak perasan kewujudan lubang di tengah laluan.

Pengguna terpaksa 'berebut' dengan kenderaan berat yang turut melalui jalan itu dipercayai ke kawasan pembinaan berhampiran.
Pengguna terpaksa 'berebut' dengan kenderaan berat yang turut melalui jalan itu dipercayai ke kawasan pembinaan berhampiran.

“MB (Menteri Besar), tolonglah bantu kami di sini, percepatkan buka jalan yang baharu dibina tu, sekarang ini kami pertaruh nyawa setiap hari lalui satu-satunya jalan keluar masuk kampung.

“Beberapa hari lepas, ada tayar kereta bocor terlanggar lubang yang dalam dan tajam itu kerana waktu malam, laluan utama ini gelap, memang tak nampak lubang sebesar kawah yang merata-rata di atas jalan,” katanya.

Jalan tersebut merupakan satu-satunya laluan penduduk Kampung Lombong ke Puchong, Saujana Putra, Kuala Langat, Klang atau ke Shah Alam.

Walaupun terdapat jalan baharu yang dibina bersebelahan laluan sedia ada, namun sehingga kini ia masih belum dibuka dan penduduk juga tidak mengetahui bila jalan tersebut dapat beroperasi.

Artikel Berkaitan:

Seorang lagi pengguna, Aini Juwita Mat Deris, 33, berkata, penduduk terutama yang menunggang motosikal terpaksa mempertaruhkan nyawa mereka melalui jalan itu setiap hari kerana tiada pilihan lain.

Laluan baharu yang siap dibina namun masih belum dibuka kepada penduduk kampung.
Laluan baharu yang siap dibina namun masih belum dibuka kepada penduduk kampung.

“Selain perlu hadap jalan rosak, kami geram terpaksa pula beralah dengan lori yang ‘makan jalan’ tak mempedulikan kenderaan kecil ketika melalui jalan itu. Akibatnya kereta kami yang terpaksa melanggar lubang besar itu kerana tidak boleh berada di bahu jalan yang mendap dipenuhi lopak air.

“Hanya sekali saja laluan ini lengang, langsung tiada lori dan kenderaan berat, itu pun bila anggota penguat kuasa berkumpul di laluan itu menyebabkan lori-lori besar membawa muatan tanah dan pasir tidak masuk ke jalan berkenaan," katanya.

Sehubungan itu, Aini berharap pemimpin negeri turun ke laluan berkenaan pada waktu malam dan mengalami sendiri masalah dilalui penduduk kampung berkenaan.

“Kami minta segerakan sambungan jalan baharu itu supaya ia dapat dibuka dan digunakan dengan selamat dan kami juga minta pihak berkuasa halang kenderaan berat menggunakan jalan baharu ini apabila ia dibuka kelak,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!