AMK dedah ada pihak rancang keganasan semasa kongres
MELAKA TENGAH - Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir mendedahkan kewujudan pihak tertentu merancang untuk melakukan keganasan ketika kongres sayap parti itu berlangsung pada pagi Jumaat lalu.
Akmal berkata, perkara tersebut turut mengejutkan beliau selepas dimaklumkan pemberi maklumat, semalam yang turut menyertakan bukti melalui aplikasi WhatsApp.
"Siapa yang hantar mesej ini? Siapa yang nak merosakkan dan memburukkan parti kita? Samseng bukan budaya kita. Saya akan serahkan kepada pihak polis untuk siasat.
"Jika benar ada orang yang merekrut 'gangster' untuk kacau AMK, kita wajib pecat serta-merta dan siasat di bawah Kanun Keseksaan jenayah," katanya ketika berucap pada sesi penggulungan Kongres Nasional PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.
Sementara itu, Akmal mendedahkan beberapa pimpinan AMK di peringkat Pusat tidak pernah hadir mesyuarat selama setahun dan mengusulkan supaya pihak terlibat digugurkan daripada jawatan.
Menurutnya, komitmen yang gagal ditunjukkan sejumlah empat hingga lima pemimpin terbabit disifatkan sebagai tindak balas mereka yang tidak lagi berminat menggalas tanggungjawab sebagai menjadi pimpinan.
"Kita jangan biarkan kepura-puraan bermaharajalela dan mewakili kita," katanya.
Dalam pada itu Akmal berkata, kongres AMK menggariskan lima perkara iaitu pembentukan komuniti muda, pendidikan tinggi dan peranan mahasiswa, ekonomi anak muda, reformasi dan kepimpinan serta disiplin organisasi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!