DAP tunggu masa sesuai bincang hak milik tanah kekal

Nga Kor Ming (tengah) pada sidang media hari ini.
Nga Kor Ming (tengah) pada sidang media hari ini.
A
A
A

IPOH - DAP Perak akan mencari masa yang sesuai untuk membincangkan isu pemilikan hak tanah kekal bersama Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Pengerusinya, Nga Kor Ming berkata, pihaknya yakin, perkara itu dapat diselesaikan dengan baik atas dasar semangat permuafakatan antara Pakatan Harapan (PH).

"Kita akan bincang pada masa yang sesuai apabila kita dapat berjumpa dengan menteri besar nanti, dengan semangat muafakat PH, apa sahaja isu pasti dapat diselesaikan.

"Ini kerana isunya bukan mengenai tuntutan sebaliknya janji PH Perak yang dibuat menteri besar ketika melancarkan manifesto sebelum pilihan raya lalu," katanya kepada pemberita selepas ditemui pada Majlis Sambutan Krismas Octagon di Bangunan Octagon hari ini.

Nga Kor Ming (tiga dari kiri) bersama Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perak (PCCI), Datuk Liew Sew Yee (dua dari kiri) pada Majlis Sambutan Krismas Octagon di Bangunan Octagon hari ini.
Nga Kor Ming (tiga dari kiri) bersama Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perak (PCCI), Datuk Liew Sew Yee (dua dari kiri) pada Majlis Sambutan Krismas Octagon di Bangunan Octagon hari ini.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat itu berkata, apabila dasar pemilikan itu dilaksanakan kelak, ia lebih memberi manfaat kepada penduduk Melayu di kampung-kampung tersusun yang melibatkan 120,000 lot berbanding 40,000 lot di kampung baru Cina.

Malah katanya, pelaksanaan itu boleh menyumbang kepada hasil negeri menerusi bayaran premium tanah yang kemudiannya digunakan bagi tujuan pembangunan negeri untuk manfaat semua kaum.

"Apa yang berlaku sekarang pembangkang sengaja menakutkan masyarakat Melayu seolah-olah ada bangsa lain mahu merampas tanah Melayu.

Artikel Berkaitan:

"Ini satu fitnah yang tidak masuk akal kerana kampung baru sudah wujud sejak 1948 sebelum negara merdeka lagi dan yang nak diberi hak milik kekal itu melibatkan rumah di kampung mereka sendiri," katanya.

Beliau berkata, pada 2008 lalu iaitu kerajaan Barisan Nasional (BN) mentadbir, pemberian hak milik kekal ada diberikan kepada penduduk-penduduk kampung baru Cina di Gerik dan Manjung.

"Ketika itu ia tidak dijadikan isu, jadi mengapa selepas 11 tahun perkara sama ditimbulkan pembangkang.

"Ini menunjukkan UMNO sengaja memainkan sentimen perkauman, jangan lupa apabila dasar ini dilaksanakan, paling ramai terima hak milik kekal adalah di kampung tersusun," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!